Porsche 911 GT3 kini tersedia dalam tiga pilihan warna baharu!

oleh Afandi Che Muhamad|
Pengimport dan pengedar rasmi kereta Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini memperkenalkan tiga pilihan warna baharu bagi model Porsche 911 GT3 khusus untuk pasaran domestik.

Antara pilihan warna baharu yang tersedia terdiri daripada Meissen Blue, Signal Green dan Riviera Blue.

Ketua Pegawai Eksekutif SDAP, Arnt Bayer (gambar) berkata, penawaran itu memberikan pengguna kelebihan untuk memilih warna yang bersesuaian dengan citarasa masing-masing.

"Tidak terhad menerusi warna semata-mata, ketiga-tiganya disuntik dengan beberapa ciri menarik lain seperti aplikasi eksklusif kemasan kulit mewah Alcantara pada ruang kabin.

"Selain itu, komponen butang instrumen, tali pinggang keledar dan jam randik (stop watch) Sport Chrono masing-masing disaluti warna merah (Guards Red) sementara  bahagian pintu karbon dan lubang pendingin hawa turut digarap dengan warna yang sedikiti bercahaya bagi menambah nilai eksklusiviti terhadap kereta sport berkenaan," ujarnya.

Jelas Arnt, mekap gaya tersebut menonjolkan karakter sporty dimiliki Porsche 911 GT3.

Tambahnya, kesemua pendekatan itu dilakukan menggunakan tulang empat kerat (buatan tangan) oleh tenaga kejuruteraan Porsche Exclusive Manufaktur.

Terdahulu, Porsche 911 GT3 yang mula memasuki pasaran tempatan penghujung tahun lalu itu berupaya menghamburkan kuasa maksima setinggi 500Hp dan kelajuan terpantas dicapai pula sekitar 318 kilometer sejam (kmsj).

Kuasa tersebut dihantar menerusi fungsi kotak transmisi dwi-klac dengan tujuh kelajuan 

Dengan berat kering hanya 1,430 kilogram (kg), ia mampu memecut dari titik pegun ke 100 kmsj sepantas 3.4 saat. Hebat bukan?

Susulan pengenalan kereta sport dua pintu tersebut juga, SDAP berbesar hati mengumumkan bahawa pihaknya akan mempamerkan Porsche 911 GT3 (Riviera Blue) di Pusat Beli-Belah Bangsar (Bangsar Shopping Centre) mulai 29 Mac hingga 1 April ini.

Jadi, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Porsche 911 GT3 baharu di sana ya!

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pelancaran model tersebut akan dibuat menerusi laman rasmi Facebook dan Instagram Porsche Malaysia…
Berita Global
Malah, menerusi sebuah laman web khas Porsche Finder yang dilancarkan, anda kini boleh menetapkan…
Berita Global
Kira-kira 14 buah model kenderaan diesel yang dijual antara tahun 2012 sehingga 2018 didapati…