Dalam perkembangan terbaru, model ikonik Porsche 911 GT3 generasi akan datang dilaporkan berpotensi beralih kepada pengecas turbo, sesuatu yang sebelum ini dianggap “pantang” bagi varian GT3.
Tekanan utama datang daripada regulasi emisi Kesatuan Eropah yang semakin ketat, menjelang 2035, pengeluar kenderaan perlu mengurangkan emisi armada sehingga 90 peratus berbanding tahap tahun 2021, dengan sasaran interim 55 peratus menjelang 2030.
Keperluan itu secara langsung memberi kesan kepada enjin NA, yang secara tradisinya kurang efisien berbanding enjin turbo atau hibrid.
Menurut ketua pembangunan model GT Porsche, Andreas Preuninger, kemungkinan penggunaan turbo untuk GT3 tidak ditolak sepenuhnya.
Beliau menyatakan bahawa enjin flat-six 4.0-liter NA sedia ada “mungkin hanya mampu bertahan beberapa tahun lagi” di Eropah tanpa perubahan besar dari segi teknologi.
Cabaran itu datang ketika Porsche turut mengurus pelbagai projek lain, termasuk menghidupkan semula model enam silinder untuk Porsche 718 selepas perancangan awal untuk menukarnya kepada EV sepenuhnya.
Selain itu, syarikat itu juga sedang membangunkan pengganti baharu bagi Porsche Macan versi enjin pembakaran dalaman, serta sebuah SUV flagship tiga baris tempat duduk.
Dengan pelbagai komitmen, jelas bahawa sumber dan kewangan Porsche sedang diuji dan jika trend itu berterusan, tidak mustahil generasi baharu 911 GT3 akan terpaksa mengorbankan enjin NA demi kelangsungan dalam era emisi rendah.
Bagi peminat tegar, ini mungkin satu titik perubahan besar kerana jika GT3 pun beralih ke turbo, ia menandakan berakhirnya satu era penting dalam dunia kereta prestasi tinggi.
Sumber: Car and Driver