
911 GT3 baharu tampil dengan naik taraf aerodinamik di antaranya pemisah depan dan peresap baharu yang berfungsi secara bergandingan untuk meningkatkan daya mendap.
Sayap belakang dengan bilah sisi baharu meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi. Bar aero pada bahagian depan sebelum ini dikhususkan untuk 911 GT3 RS.
Sayap belakang dengan tiang leher angsa, bibir depan dengan kontur baharu dan sirip bawah badan semuanya menambah baik aliran udara dan meningkatkan daya mendap.
Selain itu, penggunaan plastik bertulang gentian karbon (CFRP) secara meluas pada badan kereta dan ampaian membantu mengurangkan berat.

Buat kali pertama, 911 GT3 ditawarkan dengan pakej Weissach. Penggunaan CFRP turut membantu mengurangkan berat dan memberikan prestasi lebih tinggi.
Satu lagi tawaran adalah pakej Lightweight untuk 911 GT3 dengan pakej Touring yang turut sama menjalani program penurunan berat.
Bercakap tentang berat, timbangan 911 GT3 adalah 1,479 kilogram (kg) dan 1,461 kg untuk 911 GT3 dengan pakej Touring.
911 GT3 digerakkan enjin 4.0 liter naturally-aspirated dan bentangan enam silinder melintang (flat-six) sudah menghuni ruang enjin sejak dulu lagi.

Kuasa yang dihasilkan adalah 510 ps dan 450Nm. Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.4 saat bagi model PDK dan 3.9 saat untuk manual.
Kelajuan tertinggi bagi model manual enam kelajuan mencecah 313 km/j dan 311 km/j untuk model PDK tujuh kelajuan.
Kedua-dua kotak gear mempunyai nisbah akhir lapan peratus lebih pendek berbanding sebelum ini untuk tukaran gear lebih pantas.
Sama seperti 911 S/T, batang gear manual lebih pendek untuk pengalaman pemanduan lebih jitu.

Pada bahagian dalam, kerusi bucket boleh rebah diperbuat daripada CFRP dengan corak karbon yang berkilat.
Pelanggan 911 GT3 boleh memesan rangka keselamatan jenis bolt-on pada bahagian belakang dan cantik dengan kemasan sulaman karbon satin.
Satu lagi, buat kali pertama Porsche menawarkan kerusi belakang dan untuk 911 GT3 dengan pakej Touring.
911 GT3 dengan pakej Touring berbunyi janggal tetapi sudah pun dimulakan sebelum ini lagi. Selain kereta, Porsche juga menawakan jam 911 GT3 khusus untuk pemilik.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
