Porsche 911 GT3 2022 - 502 hp/469 Nm, 0-100 kmsj dalam 3.4 saat, boleh pilih transmisi manual!

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada Porsche 911 GT3 2022, salah sebuah kereta sports yang dinanti-nantikan oleh para peminatnya setelah sekian lama diuji di atas jalan umum dan juga di litar lumba.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Porsche 911 GT3 2022 dikuasakan oleh enjin flat-six aspirasi natural 4.0 liter yang mampu melahu sehingga putaran enjin 9,000 rpm bagi menghasilkan 502 kuasa kuda dan 469 Nm daya kilas.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi PDK klac berkembar tujuh nisbah kelajuan yang ditala khas membolehkan jentera ini mencapai kelajuan 100 km/j dari pegun dalam tempoh 3.4 saat sahaja dan kelajuan tertinggi 318 km/j.

 


Bagi mereka yang masih gemarkan kereta tiga pedal, usah risau kerana transmisi manual masih lagi tersedia sebagai opsyen, bagi membolehkan anda mencapai kelajuan tertinggi 320 km/j, lebih pantas berbanding 911 GT3 RS.

Malah, dalam ujian di litar neraka hijau Nurburgring (dengan jarak 20.8 km), Porsche 911 GT3 2022 ini ternyata mampu memadamkan rekod yang dipegang oleh model terdahulu dengan catatan masa 6:55.2 (vs catatan masa 7:12.7 oleh model 911.2 GT3).

Adalah tidak menghairankan apabila duta besar jenama Porsche, Jorg Bergmeister menyifatkan Porsche 911 GT3 2022 sebagai sebuah kereta produksi terbaik setakat ini.

 


Walaupun didatangkan dengan dimensi badan yang lebih lebar, roda yang lebih besar dan penambahan ciri-ciri seperti spoiler belakang leher itik dan diffuser belakang, berat badan GT3 baharu ini hanyalah sekitar 1,418 kg (versi PDK 1,435 kg).

Ia disumbangkan oleh penggunaan bonet depan daripada bahan CFRP, kaca tingkap yang lebih ringan, cakera brek dioptimasikan serta rim aloi tempa yang lebih ringan.

Selain daripada itu, sistem ekzos baharu juga turut membantu mengurangkan berat keseluruhan GT3 ini menjadi kurang 10 kg, dan mempunyai ciri flap ekzos yang boleh dilaras secara elektronik yang mampu menghasilkan runut bunyi yang lebih beremosi.

 


Sementara ruang kokpit Porsche 911 GT3 2022 ini menampilkan roda stereng GT3, suis mod pemanduan, pemilihan tempat duduk yang lebih ringan, serta fungsi Track Screen yang mampu meringkaskan paparan yang terdapat pada skrin kluster digital di sebalik stereng ketika pemanduan di dalam litar.

Eksklusif untuk model 911 GT3 adalah penawaran jam tangan chronograph Porsche Design yang menampilkan rekaan yang dinamik bercirikan prestasi dan binaan yang berkualiti tinggi.

Para pembeli juga boleh menentukan sendiri warna jam tangan ini mengikut layangan warna model sebenar 911 GT3.