Porsche 911 GT2 RS ini dinobatkan jentera jalanan terpantas di Nurburgring - 6 minit 43.300 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Tidak pun lama selepas Porsche Cayenne Coupe memecahkan rekod terpantas dalam kategori SUV, Porsche kembali merajai Litar Neraka Hijau dengan memecahkan rekod dalam kategori kereta jalanan terpantas di dunia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Pengeluar tersebut menggunakan sebuah 911 GT2 RS yang dilengkapi dengan kit prestasi tinggi Manthey dan terima kasih kepada modifikasi tersebut ia mampu mencatatkan rekod 6 minit 43.300 saat.

Ia sekaligus memecahkan rekod yang telah dicatatkan oleh Mercedes-AMG GT Black Series (6:48.047) atas litar sepanjang 20.8 kilometer itu.

 


Kit Manthey tersebut dijual secara rasmi oleh Porsche Tequipment menampilkan beberapa perubahan seperti penambahan kepak (flap) pada spoiler hadapan, diffuser yang direka semula, spoiler unik, dan 'aerodisc' untuk roda belakang.

Menurut Porsche, perubahan ini menjadikan 911 GT2 RS berjaya menambah 21 kg daya turun pada bahagian hadapan, dan tambahan 107 kg di bahagian belakang pada kelajuan 200 km/j.

Pakej ini turut menawarkan pilihan rim magnesium 20 atau 21 inci, sistem brek komposit seramik, pad brek khas, serta suspensi gegelung yang dioptimasikan untuk kegunaan litar serta penyerap hentak boleh laras.

 


Sama seperti rekod yang dipecahkan oleh Cayenne Coupe, Porsche menggunakan khidmat pemandu yang sama, Lars Kern di mana beliau menyifatkan Porsche 911 GT2 RS berkuasa 690 hp ini "seakan melekat di atas litar, prestasi brek yang bagus, dan mudah untuk dikawal".