Porsche 911 Dakar 2023 – inspirasi rali Paris-Dakar, 2500 unit sahaja

oleh Mohamad Hanif|
Mengambil inspirasi daripada kemenangan di dalam rali Paris-Dakar 1984, Porsche akhirnya secara rasmi melancarkan model supercar off-road Porsche 911 Dakar.

Produksi Porsche 911 off-road ini dihadkan kepada 2,500 unit sahaja untuk satu dunia.
 

911


Membezakan model 911 Dakar ini dengan model 911 standard adalah:
-    Jarak kelegaan tanah 50 mm lebih tinggi daripada 911 Carrera
-    Datang dengan sistem lif yang mampu meninggikan seksyen depan atau belakang sebanyak 30 mm
-    Tetapan tertinggi sistem suspensi ini membolehkan ia dipandu atas laluan off-road sepantas 170 km/j
-    Tayar off-road standard Pirelli Scorpion All-Terrain Plus, saiz 245/45 ZR 19 depan & 295/40 ZR 20 di belakang
-    Spoiler belakang kekal CFRP
-    Lug tunda aluminium merah depan dan belakang
-    Perlindungan keluli tahan karat pada bahagian depan, belakang dan sisi

Porsche 911 Dakar 2023 dikuasakan oleh nadi enam silinder boxer 3.0 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 480 PS dan daya kilas 570 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 3.4 saat.
 

911


Namun, kelajuan tertinggi dihadkan kepada 240 km/j, menjadikannya varian Porsche 911 moden yang paling ‘perlahan’ pernah ditawarkan.

Secara standard, Porsche menawarkan transmisi PDK lapan nisbah kelajuan dan sistem pacuan semua roda, dibantu dengan sistem stereng gandar belakang, cagak enjin daripada Porsche 911 GT3 dan penstabilan anti-oleng PDCC.

Porsche 911 Dakar ini turut mempunyai mod pemanduan Rallye dengan bias kuasa lebih kepada gandar belakang, dan mod Offroad yang akan mengaktifkan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi, dan tetapan tahap cengkaman maksimum terutama di atas permukaan bumi yang tidak rata.
 

911


Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah jentera off-road, Porsche telah memasang rak bumbung pada model 911 Dakar ini dengan had muatan 42 kg.

Ia menampilkan soket kuasa 12V untuk pemasangan lampu LED bumbung secara opsyen, dan tidak ketinggalan penawaran khemah bumbung.
 

911


Ruang kabin Porsche 911 Dakar ini membawakan tempat duduk jenis bucket, kemasan Race-Tex serta jahitan Shade Green, manakala tempat duduk belakang yang telah dibuang

Disebabkan penggunaan kaca dan bateri yang lebih ringan, Porsche 911 Dakar ini mempunyai berat sekitar 1,605 kg sahaja, atau 10 kg lebih berat berbanding 911 Carrera 4 GTS dengan transmisi PDK.

Pembeli boleh mendapatkan Rallye Sport Package yang merangkumi bar roll-over, tali pinggang keledar enam poin dan sistem pemadam api.
 

911


Selain daripada itu, terdapat juga opsyen Rallye Design Package daripada Porsche Exclusive Manufaktur yang membawakan kemasan cat dua tona White/Gentian Blue Metallic, serta paparan nombor yang boleh dipilih sendiri oleh pembeli.

Melengkapi pembelian Porsche 911 Dakar ini adalah pakej jam tangan Porsche Design Chronograph 1 – 911 Dakar atau Chronograph 1 – 911 Dakar Rallye Design Edition, dengan binaan perumah daripada bahan kalis calar dan titanium karbida ringan.

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun tahukah anda, Porsche pada asalnya mahu menggunakan nama ‘Safari’ pada model 911 off-road ini…
Berita Global
Sebelum Porsche memperoleh kemenangan pertama di dalam kejuaraan Rali Paris-Dakar pada tahun 1984,…
Berita Global
Setakat ini, spesifikasi tepat kereta sports berorientasikan off-road ini tidak diketahui. Namun,…