Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport 2022 - mainan serius untuk litar sahaja

oleh Mohamad Hanif|
Porsche bukan sahaja melancarkan 718 Cayman versi jalanan yang lebih ekstrem, pengeluar itu juga turut sama membawakan sebuah jentera 718 Cayman GT4 RS Clubsport yang lebih khusus untuk kegunaan di dalam litar.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menggunakan asas daripada model 718 Cayman GT4 RS yang baharu sahaja dilancarkan, Porsche mensasarkan model Clubsport ini untuk bertanding di dalam kejuaraan GT4 termasuklah siri perlumbaan IMSA Michelin Pilot Challenge dan SRO di seluruh dunia.
 

GT4


Jentera yang tidak halal untuk jalan raya umum ini membawakan penampilan yang lebih agresif, terima kasih kepada kit badan yang telah direka semula merangkumi splitter yang lebih menonjol, liang terintegrasi pada fender, tirai udara serta flap gurney pada bahagian sayap belakang.

Bergantung kepada perlumbaan, jentera Clubsport ini boleh ditambah unit lampu utama, sistem pengisian bahan api pantas, serta dua set ekzos yang berbeza.

Untuk meminimumkan berat badan, beberapa komponen seperti pintu, sayap belakang, fender dan komponen aerodinamik diperbuat daripada bahan komposit gentian asli sebagai alternatif kepada gentian karbon.
 

GT4


Dari segi kuasa, Posche 718 Cayman GT4 RS Clubsport mengekalkan penggunaan nadi flat-six 4.0 liter aspirasi natural yang diperoleh daripada 911 GT3 Cup, dengan angka 500 hp dan 465 Nm, dipadankan dengan transmisi PDK tujuh nisbah kelajuan.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi bantuan limited-slip differential.

Selain daripada itu, sisten gantungan jentera Clubsport ini telah ditambahbaik bagi menjadikannya jauh lebih serius daripada model jalanan GT4 RS.
 

GT4


Antara perubahan yang dibuat termasuklah penggunaan teknologi peredam baharu, penyerap hentak perlumbaan boleh laras dua cara dengan karakteristik injap yang ditambahbaik, tiga tetapan spring yang berbeza, bar anti oleng dua bilah boleh laras, serta keupayaan untuk melaras ketinggian, camber dan toe.

Sistem pemberhentian Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport ini menggunakan cakera berliang bersaiz 380 mm, diikuti perisian ABS dan Porsche Stability Management System yang telah diprogramkan semula.