Polis wanita cedera dilanggar lelaki sedang kejar ibu mertua

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Seorang anggota polis wanita cedera parah di bahu selepas motosikal dinaikinya dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, pagi tadi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata bahawa siasatan awal mendapati sebelum kejadian tersebut, pemandu lelaki berusia 51 tahun itu telah bertengkar dengan ibu mertuanya.

Pertengkaran itu dipercayai disebabkan oleh harta di sebuah rumah di Jalan Dato, Chukai, dimana suspek itu telah bertindak menggunakan sebatang kayu dan mengetuk bonet serta bumbung kereta ibu mertuanya.

Supt Hanyan berkata, "Ibu mertuanya yang ketakutan masuk ke dalam kereta dan memandu ke Balai Polis Chukai untuk mendapatkan pertolongan."

"Dalam perjalanan, suspek mengekori ibu mertuanya dan cuba memotong dengan cara berbahaya sehingga merempuh motosikal ditunggang oleh anggota polis wanita yang datang dari arah bertentangan."

Supt Hanyan berkata anggota polis wanita berpangkat sarjan berusia 36 tahun itu telah dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Menurutnya lagi, suspek cuba melarikan diri selepas kejadian, namun berjaya ditahan pada jam 2.15 petang di tepi jalan kawasan Ibok, kira-kira 18 km dari tempat kejadian akibat kereta yang dinaikinya rosak dan tersadai.

Supt Hanyan menambah, "Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan."