Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata dron dilengkapi teknologi pengimbas itu mampu mengesan suhu badan dalam kelompok manusia pada jarak 20 meter dari udara.
"Kita sudah menetapkan suhu 37.5 darjah Celsius pada dron itu dan sesiapa yang melebihi suhu itu, lampu merah akan bernyala dan anggota penguat kuasa akan ke lapangan untuk mengesan individu yang bergejala itu.
"Kita ada 157 pasukan pemantau di seluruh Terengganu, tetapi kita tidak dapat memantau sepenuhnya setiap premis atau lokasi yang menjadi tumpuan memandangkan mereka ini bergerak.
"Jadi, penggunaan dron ini sedikit sebanyak membantu kita melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, " katanya.
Beliau ditemui selepas melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 daerah Kuala Terengganu di Jambatan Sultan Mahmud di sini, hari ini.
Rohaimi berkata, penggunaan dron yang turut dilengkapi pembesar suara itu pernah digunakan ketika PKP 1.0, namun hanya untuk membuat pengumuman kepada orang ramai.
Katanya, penggunaan alat itu kali ini lebih kepada tindakan penguatkuasaan untuk mengenal pasti pelanggaran SOP dalam kalangan masyarakat.
"Dron ini diletakkan di tempat tumpuan termasuk tempat yang mempunyai kebenaran berurusan, namun jika ada isu pelanggaran SOP, kita akan letak ia di sana untuk membantu memantau," katanya.
Polis Terengganu pernah menggunakan dua dron di tiga kampung di Dungun bagi memastikan penduduk patuh ketika pelaksanaan PKP pada April tahun lalu.
Sumber: Berita Harian