Polis tahan pemandu bas 'lalok', disahkan positif dadah

oleh Penyumbang Rencana|
Pemandu bas ekspres yang tular memandu dalam keadaan 'lalok' sehingga membahayakan penumpang disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, berkata lelaki tempatan berusia 53 tahun berstatus duda itu didapati positif bahan terlarang berkenaan selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadapnya pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku pada 15 April lalu kira-kira jam 3.50 pagi ketika individu yang mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai pemandu bas sedang membawa penumpang dari Ipoh, Perak ke Johor Bahru.

"Video tular berkaitan kejadian itu dikesan 16 April lalu kira-kira jam 1.05 tengah hari.

"Hasil maklumat dan siasatan dijalankan, suspek tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Alor Gajah jam 12.10 tengah hari tadi bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan pemandu bas ekspres yang tular memandu dalam keadaan lalok dan menggunakan sebelah tangan ketika membawa penumpang ditahan ketika hadir ke BSPTD untuk memberi keterangan.

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata susulan insiden itu…
Berita Domestik
Menurutnya, perbuatan tersebut boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu…
Berita Domestik
Menurut syarikat itu, tindakan dalam video berkenaan disifatkan sebagai mengecewakan, membimbangkan…