Polis tahan Exora bawa 13 PATI - selepas satu jam setengah mengejar!

oleh Mohamad Hanif|
Polis mengambil masa satu jam setengah mengejar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang membawa 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar sebelum menahannya di Pasir Puteh, dekat sini hari ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Terdahulu, Proton Exora terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan bulatan Lemal, di sini pada pukul 6 pagi namun pemandunya enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan pihak berkuasa.

Difahamkan, suspek memecut laju kenderaan tersebut menuju ke Pasir Puteh, memaksa polis mengejar mereka dengan bantuan peronda dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Machang dan Pasir Puteh.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, Proton Exora terbabit akhirnya ditahan di satu kawasan ladang kelapa sawit di Jeram Linang, Pasir Puteh pada pukul 7.30 pagi.

“Empat PATI warga Myanmar berusia dalam lingkungan 21 hingga 33 tahun termasuk seorang wanita yang menaiki kenderaan terbabit ditahan polis.

“Sementara itu, seramai 10 individu lagi termasuk pemandunya seorang lelaki yang dipercayai warga tempatan sempat meloloskan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nasaruddin, usaha mengesan kumpulan PATI dan tekong darat yang lolos itu sedang giat dijalankan ketika ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. – UTUSAN

Berita Berkenaan

Berita Global
"Apabila kami mengarahkan ia beredar dari situ, ia memecut secara tiba-tiba dan berlakulah adegan…
Berita Domestik
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi turut mengesahkan mengenai penahanan…
Berita Domestik
Pemangku Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata pemuda tempatan…