Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan suspek memukul seorang wanita dengan topi keledar sehingga parah.
“Kejadian pukul itu berlaku di Taman Saujana Impian, Kajang kira-kira jam 6 petang pada Ahad lalu dan mangsa berusia 29 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah.
“Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Honda City dan kenderaan itu dipandu secara berbahaya hingga melanggar beberapa kenderaan lain di kawasan Batu 9, Cheras,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata, pihak polis menerima dua laporan polis berkait kejadian itu yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku antara suspek dan mangsa, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lalu, masing-masing 12 dan 22 rekod berkait kesalahan jenayah dan dadah.
“Mereka direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu memandu secara gopoh yang boleh membahayakan diri dan nyawa orang lain. Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan orang menggunakan senjata sehingga cedera parah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis meminta kerjasama saksi yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, polis mengesan dua rakaman video berkait kejadian itu tular di media sosial pada Isnin lalu menunjukkan sebuah kenderaan jenis Honda City berwarna putih dipandu secara gopoh sehingga melanggar beberapa kenderaan di kawasan Batu 9, Cheras.