Polis siasat nahas Alza dirempuh kereta dipandu pegawai tentera mabuk sebagai kes bunuh

oleh Penyumbang Rencana|
foto media sosial
Kes kemalangan maut di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) yang mengorbankan seorang lelaki Bangladesh disiasat mengikut kesalahan bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Mohd Zamzuri, perintah reman lima hari terhadap suspek dikeluarkan Majistret Puan Guftan Nor Asyikin Murlikamal di bilik reman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi IPD Dang Wangi, jam 10.45 pagi.

"Mahkamah membenarkan suspek direman sehingga 28 April. Jika sabit kesalahan, pertuduhan bunuh membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan," katanya dalam kenyataan ringkas, pada Jumaat.

Susulan kejadian jam 5.38 pagi semalam, seorang pegawai tentera berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan maut di lebuh raya berkenaan.

Dalam kejadian di Kilometer 1.9 laluan dari arah Salak Selatan menghala Jalan Tun Razak itu, suspek yang memandu Ford Fiesta dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh Perodua Alza digunakan sebagai kenderaan e-hailing di lorong kiri.

Kenderaan e-hailing itu membawa dua penumpang warga Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penumpang lelaki berusia 22 tahun yang duduk di bahagian tengah kerusi penumpang cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang penumpang wanita berusia 20 tahun cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pemandu e-hailing mengalami kecederaan di kepala, manakala pegawai tentera berkenaan dan seorang penumpang wanita berusia 36 tahun dalam keretanya juga cedera. Semua mangsa dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Keputusan ujian pernafasan terhadap pemandu Ford Fiesta itu mendapati bacaan alkohol melebihi had dibenarkan, manakala ujian dadah menunjukkan keputusan negatif.

Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Lelaki warga Bangladesh yang maut dalam kemalangan itu, semalam dikenal pasti sebagai seorang pempengaruh permainan video terkenal Advance Gaming.

Mangsa, Muzahid Millad, 22, disahkan meninggal dunia, manakala isterinya, Nafisa Tabassum Adiba, 23, dilaporkan cedera dan kini menerima rawatan di HKL.

Sebelum tragedi itu, pasangan berkenaan yang berasal dari Habiganj, Bangladesh, dilaporkan baru tiba di Malaysia untuk bercuti selama seminggu di ibu negara.

Berita Harian