Polis - Pemandu Axia keliling bulatan dari pagi hingga malam hidap skizofrenia

oleh Penyumbang Rencana|
Tangkap layar dari video
Polis mengesahkan pemandu kereta Perodua Axia berwarna putih yang mengelilingi Bulatan Mahkota di Kluang, bermula dari pagi hingga malam adalah pesakit yang menerima rawatan skizofrenia iaitu gangguan mental yang kronik.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kereta itu dipandu seorang lelaki berusia 50-an dengan lesen memandu B2 dan D yang masih sah sehingga 2027.

Bagaimanapun, katanya, kereta berkenaan adalah milik abang kepada pemandu terbabit.

“Pemandu kereta pernah menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 2020 dan 2021 kerana penyakit mental.

“Terkini, dia ada menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi penyakit skizofrenia.

“Penama masih menerima rawatan di PSY Clinic dan mempunyai kad rawatan,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.

Terdahulu, Bahrin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.20 malam pada Khamis.

“Kenderaan itu berjaya dihentikan anggota polis kira-kira 10 minit kemudian, tiada sebarang kemalangan dan kecederaan dilaporkan berlaku,” katanya.

Pada masa sama, Bahrin berkata, pihaknya sudah menasihatkan ahli keluarga supaya tidak membenarkan lelaki terbabit keluar rumah tanpa ahli keluarga dan dilarang memandu kenderaan.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 57 saat memaparkan seorang pemandu Perodua Axia dikatakan memandu mengelilingi Bulatan Mahkota beratus kali bermula dari pagi hingga malam.

Menerusi video itu, jelas memaparkan kereta terbabit membuat pusingan sambil menyalakan isyarat ‘double signal’ atau lampu isyarat kecemasan.

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata berdasarkan…
Berita Domestik
Ketua Zon 4 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba II, Norshuhada Amsari berkata, laporan tersebut…
Berita Domestik
Dalam kejadian kira-kira jam 2.55 pagi itu, enam individu terlibat dalam kemalangan berkenaan…