Menurutnya, kereta terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250 yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun.
"Polis menerima laporan kemalangan pada jam 1.15 tengah hari membabitkan lima buah kenderaan. Siasatan mendapati BMW 530e terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh empat kenderaan.
"BMW 530e itu merempuh Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes Benz yang bergerak di laluan bertentangan. Selepas merempuh kenderaan terbabit, BMW 530e terbabas dan jatuh ke dalam gaung di seberang jalan.
"Akibat rempuhan itu, pemandu Toyota Vios iaitu lelaki berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun meninggal dunia. Turut terbunuh wanita berusia 73 tahun dan kanak-kanak perempuan 10 tahun.
"Kesemua mereka meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Bahrin berkata, pemandu BMW 530e turut maut dalam nahas itu ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan.
Tambahnya, penumpang Perodua Alza iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 11 dan tujuh tahun cedera di kepala, kini menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
"Pemandunya pula lelaki berusia 43 tahun cedera di kaki. Pemandu Proton Wira, lelaki berusia 22 tahun cedera di mulut sementara wanita berusia 57 tahun yang juga pemandu Mercedes Benz cedera ringan.
"Kesemua mangsa cedera mendapat rawatan di hospital sama dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Susulan nahas itu, Bahrin berkata, polis menahan pemandu Mercedes Benz A250 serta merampas kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif bahan terlarang dan permohonan reman akan dibuat hari ini mengikut Seksyen 42 (1) akta sama, kerana memandu secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
"Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682," katanya.
Rakaman dari kamera papan pemuka (dashcam):
Video sejurus selepas kemalangan di bawah:
https://www.facebook.com/share/v/14fuMfe8AQZ/