Polis minta perakam video pusingan U, lawan arus tampil bantu siasatan

oleh SALINA JALIL|
Polis meminta individu yang merakam video beberapa buah kenderaan membuat pusingan U serta memandu secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jelutong di Georgetown supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis sedang menjalankan siasatan terhadap kejadian tersebut bagi mengenal pasti tarikh dan masa serta pemandu kenderaan yang terlibat.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

 

Menurutnya, mereka yang menyaksikan kejadian itu juga diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis untuk membantu siasatan.

 


"Terdapat satu klip video yang memaparkan beberapa kenderaan membuat pusingan U secara haram dan memandu melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Ia dipercayai tular di media sosial tadi (Isnin).

 

"Oleh itu, saya memohon individu yang merakam video tersebut serta menyaksikan kejadian supaya tampil ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Erma di talian 017-6652405 bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Soffian berkata, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan melanggar peraturan lalu lintas dan boleh membahayakan nyawa orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

"Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu untuk tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.

 

"Susulan kejadian ini, saya menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya bertolak ansur dan bersabar sekiranya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

 

"Jangan sesekali mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.

 

 

 

Sinar Harian
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mangsa, Shaiful Harbi Yusuff, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami pendarahan…
Berita Domestik
Berdasarkan laporan Harian Metro, kejadian tersebut berlaku di KM 68, Jalan Alor Setar-Butterworth…
Berita Domestik
Menurut posting pihak editorial di Instagram dan Facebook rasmi Careta, pusingan U yang terletak…