Polis minta perakam kejadian lembu terlepas di LDP tampil bantu siasatan

oleh Penyumbang Rencana|
Polis mengesahkan kejadian tular membabitkan dua ekor lembu korban dipercayai terlepas hingga dirempuh kereta di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Paradigm Mall, di Petaling Jaya pada Ahad.

Kejadian itu berlaku kira-kira 5.30 petang apabila lembu berkenaan terlepas dari kawasan surau berhampiran laluan LDP menghala ke Puchong.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya mengesan satu video tular di Facebook yang dimuat naik pemilik akaun Mohd Nooramin memaparkan dua ekor lembu terlepas di lebuh raya.

“Insiden itu menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi.

“Bagaimanapun, kemalangan ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemandu kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Menurutnya, pihaknya meminta perakam insiden tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Rule 33(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.“Pihak polis mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam dan memohon pengguna sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan media sosial kecoh apabila dua ekor lembu dikatakan terlepas dan berkeliaran di LDP berhampiran pusat beli-belah di Kelana Jaya.

Kejadian itu tular selepas video dan gambar mengenainya dimuat naik dengan keterangan ‘lembu cuba melarikan diri’ sebelum dikorbankan sempena Aidiladha.

Dalam satu video berdurasi 14 saat yang dirakam pemandu kereta, jelas menunjukkan dua lembu dewasa di laluan yang sesak kenderaan, dan lebih malang apabila kereta Perodua Myvi didakwa rosak akibat terlanggar seekor daripada lembu itu.

 

BuletinTV3