Polis maut kereta terbabas langgar ular

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG anggota polis maut selepas kereta yang dipandunya terbabas ekoran melanggar seekor ular dalam kejadian di Kilometer 311.5, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Tapah.

Mangsa berusia 36 tahun yang memandu kereta Honda Civic meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 5.38 pagi.

 

"Siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah berkaitan kemalangan maut ini.

 

"Kemalangan berlaku dipercayai selepas mangsa melanggar seekor ular yang menyebabkan kereta dipandunya terbabas," katanya.

 

Jelas beliau, mangsa sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping, Perak.

 

Katanya, kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

 

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut ini diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.