Polis Marin rampas 100,013 liter diesel, empat suspek ditahan di Bukit Kayu Hitam

oleh Penyumbang Rencana|
foto Sinar Harian
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Kedah berjaya menumpaskan aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah dalam satu operasi dinamakan Op Taring Landai di Mukim Sungai Laka, di Bukit Kayu Hitam, pada pagi Selasa.

Pemangku Komander PPM Wilayah 1, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi, berkata serbuan tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, pada jam 7.30 pagi.

Menurutnya, Op Taring Landai yang dijalankan itu berjaya menumpaskan aktiviti pemindahan diesel daripada beberapa skid tank ke dalam lori treler bernombor pendaftaran Thailand yang mengandungi anggaran 100,013 liter diesel bernilai RM335,043.55.

“Hasil serbuan, seramai empat lelaki ditahan untuk membantu siasatan, terdiri daripada tiga warganegara Thailand dan seorang warganegara tempatan berumur antara 26 hingga 60 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan dan pemindahan minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Fakharuddin, dalam operasi itu pihak berkuasa turut merampas tiga lori treler, sembilan skid tank yang mengandungi minyak diesel berkenaan serta tiga unit mesin pam minyak bermeter.

Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM1.09 juta.

“Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PPM bagi memperkukuh kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan demi keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Pemeriksaan turut dilakukan terhadap dua kenderaan iaitu sebuah lori yang diubah suai dan sebuah…
Berita Domestik
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Julie Julhani berkata, tangkapan dan…
Berita Domestik
Beliau berkata operasi, yang dinamakan Ops 555, dijalankan oleh cawangan Pasir Mas kira-kira jam 7.…