“Kami tak halang rakyat nak melawat ke sana, tapi dinasihatkan supaya berhati-hati.
“Perlu peka kerana keadaan belum stabil,” katanya ketika ditemui menghadiri Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Khadijah: Karnival Kelantanku Cakna di Masjid Jamek Muhammadi pada Selasa.
Beliau turut mengingatkan bahawa kawalan keselamatan di sempadan negeri ini dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mencapai tahap paling genting dalam tempoh lebih sedekad apabila sempadan sepanjang lebih 800 kilometer kembali mencetuskan konflik ketenteraan khususnya di sekitar wilayah Sisaket dan Oddar Meanchey.
Pertempuran kecil pernah berlaku sebelum ini, namun konflik kali ini dianggap paling serius apabila jet pejuang mula digunakan yang menandakan peningkatan mendadak dalam tahap ketenteraan.
Gencatan senjata dicapai secara rasmi pada tengah malam Isnin dengan sokongan penuh daripada ASEAN dan pujian antarabangsa termasuk Amerika Syarikat.
Ketegangan bagaimanapun masih dirasai apabila tentera Thailand mendakwa Kemboja melanggar perjanjian beberapa jam selepas gencatan senjata dikuatkuasakan.
Dalam konteks sempadan Kelantan, daerah seperti Rantau Panjang, Tumpat dan Pasir Mas menjadi antara laluan utama keluar masuk ke Thailand dan sering menjadi tumpuan rakyat Kelantan untuk tujuan perniagaan serta pelancongan.
“Polis memandang serius sebarang perkembangan di sempadan negara.
“Orang ramai digalak mendapatkan maklumat rasmi sebelum melakukan perjalanan ke luar negara termasuk boleh merujuk Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Malaysia di Thailand dan agensi keselamatan tempatan,” katanya.