"Daripada jumlah itu, sebanyak 87 stesen minyak terletak di kawasan sempadan manakala 64 lagi dikategorikan berisiko tinggi berdasarkan lonjakan jualan mencurigakan serta aktiviti melibatkan kenderaan asing dan tangki ubah suai.
"Di Sarawak sahaja, 22 stesen minyak di kawasan sempadan seperti Limbang, Lubok Antu dan Lundu akan dipantau pihak polis melalui operasi bersepadu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) peringkat negeri itu di Kuching pada Isnin.
Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, sejak pelaksanaan Ops Tiris 4.0 pada 16 Mac hingga semalam, sebanyak 13,759 pemeriksaan telah dijalankan melibatkan 239 kes dikesan dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM11 juta, termasuk RM6.7 juta di Sarawak sahaja.
"Kes melibatkan diesel mencatatkan jumlah tertinggi dengan 99 kes bernilai lebih RM3.1 juta, diikuti petrol RON95, Gas Petroleum Cecair (LPG) serta barangan kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tepung gandum,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai menyokong inisiatif ‘Kita Gempur’, iaitu langkah kerajaan untuk membina gerakan massa dalam menangani isu ketirisan barang kawalan dan bersubsidi demi melindungi kedaulatan ekonomi negara.