Polis cari saksi 2 kemalangan maut

oleh SALINA JALIL|
Saksi dua kemalangan maut membabitkan seorang pemandu pikap dan seorang penunggang motosikal di Kilometer (KM) 21.7 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan KM 458.8 Lebuhraya Utara Selatan, Khamis lalu diminta tampil membantu siasatan polis.


Jurucakap polis berkata, dalam kemalangan pertama di KM21.7 Lebuhraya NKVE menghala ke utara berhampiran Bukit Lanjan, seorang kontraktor maut selepas pikap jenis Chevrolet Colorado yang dipandunya kemalangan dengan sebuah treler di lebuh raya terbabit.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

"Dalam kemalangan kira-kira jam 11.59 pagi itu, treler terbabit dalam perjalanan dari Setia Alam, Klang ke Setiawangsa dan apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan berat itu mengalami kerosakan dan terhenti di tengah lebuh raya.

 

"Kenderaan pikap dipandu, Chia Boon Pin, 41, yang berada di belakang tidak sempat mengelak dan merempuh belakang treler yang membawa muatan besi 'staging' untuk tapak pembinaan.

 

"Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan maut di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya.

 

Dalam kemalangan kedua di KM458.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, katanya seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah lori sampah yang sedang bergerak secara perlahan di lorong paling kiri.

 

"Kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang ketika lori sampah berkenaan dalam perjalanan dari Bukit Tagar, Hulu Selangor ke Teluk Panglima Garang.

 

"Sampai di lokasi, pemandunya mendengar bunyi kuat dari belakang lori sebelum mendapati kenderaannya dirempuh sebuah motosikal.

 

"Penunggang motosikal, Mohd Firdaus Alias, 42, yang bekerja sebagai operator pengeluaran di Proton Tanjung Malim disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke PPUM untuk bedah siasat," katanya.

 

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung punca sebenar kedua-dua kemalangan itu masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Saksi kejadian yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013 -9738580 untuk membantu siasatan.

 

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, berikutan itu anggota peronda MPV Gerik kemudian melancarkan "Op Kesan" di kawasan…
Berita Domestik
Difahamkan, suami mangsa sedang menjalankan urusan jual beli manakala kedua-dua mangsa berada dalam…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.…