Polis buru lelaki siku muka wanita

oleh SALINA JALIL|
Polis sedang menjejaki penunggang motosikal yang menyiku pembonceng wanita ketika melalui Jambatan Teluk Gadong, Jalan Sungai Bertih, di Klang.


Video yang tular sejak beberapa hari lalu di media sosial itu dirakam salah seorang pengguna jalan raya sehingga menimbulkan kecaman netizen.


Malah ada andaian ia dilakukan lelaki terbabit terhadap isterinya berikutan mangsa turut membawa anak kecil ketika kejadian.

 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, video yang tular sejak beberapa hari lalu di media sosial itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) salah seorang pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

"Semalam, polis mengesan satu video berdurasi 11 saat di laman sosial Facebook memaparkan kejadian seorang lelaki menunggang motosikal menyiku pembonceng iaitu seorang perempuan secara berulang kali.

 

"Semakan mendapati kejadian itu berlaku di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

 

"Siasatan menunjukkan seorang lelaki iaitu penunggang motosikal menyiku menggunakan tangan kiri sebanyak dua kali ke arah bahagian kepala pembonceng motosikal yang dipercayai seorang perempuan," katanya tadi.

 

Hoong Fong berkata, susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian.

 

"Setakat ini identiti penunggang dan pembonceng motosikal masih belum dikenalpasti.

 

Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti individu terbabit.

 

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, dinasihatkan untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan dengan menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222," katanya.

 

Video yang tular tersebut di bawah ini:

 

 

Harian Metro