Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengesan video pergaduhan membabitkan dua lelaki di Facebook dan laporan kejadian diterima pada 5.35 petang Ahad lalu, dibuat pemandu lori berkenaan yang berusia 31 tahun.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada hari sama, kira-kira 2.30 petang di Plaza Tol Kempas, Lebuhraya Utara Selatan, Kempas.
“Semasa menunggu giliran membayar tol, pengadu yang memandu lori telah membunyikan hon kerana sebuah kereta jenis Proton Wira di hadapannya tidak bergerak walaupun palang tol telah terbuka.
“Berikutan itu, seorang lelaki yang tidak dikenali telah keluar dari pintu penumpang kereta berkenaan dan meminta pengadu membuka pintu lori.
“Selepas pintu dibuka, lelaki berkenaan didakwa telah memukul muka dan kepala pengadu beberapa kali. Pengadu kemudian bertindak mempertahankan diri dengan menendang lelaki itu keluar dari lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Balveer Singh berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati akibat dibunyikan hon dan mangsa mengalami sakit-sakit di bahagian belakang kepala.
Katanya, pihaknya kini mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam, yang jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan, atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya.
Polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.