Polestar Precept - atlet minimalis yang mesra alam!

oleh Mohamad Hanif|
Polestar baru-baru ini memperlihatkan secara rasmi sebuah model konsep Grand Tourer berkuasa elektrik sepenuhnya yang dinamakan sebagai Polestar Precept.
Modenas

Berdasarkan informasi yang diberikan oleh pihak Polestar, Precept menggambarkan visi arah masa hadapan jenama kelahiran Volvo itu, membawakan antaramuka digital yang termaju, penggunaan bahan yang lebih mesra alam serta padat dengan ciri keselamatan terkini. 


 


Dari sudut luaran, Precept sememangnya nampak futuristik, terima kasih kepada falsafah bahasa rekaan yang digelar sebagai Minimalistic Athleticism dan bakal menjadi bahasa utama di dalam pembangunan model-model Polestar akan datang. 

Jarak antara roda juga sangat panjang, sekitar 3.1 meter yang sengaja dibuat bagi bagi memuatkan pek bateri yang sangat besar, dan menawarkan ruang kaki yang sangat luas untuk penumpang belakang. 
 


Tidak seperti model-model Polestar sedia ada, Polestar Precept tidak mempunyai sebarang ruang gril di hadapan, akan tetapi ia digantikan dengan Polestar SmartZone yang merangkumi pelbagai jenis penderia untuk bantuan pemanduan termaju. 

Rekaan lampu ikonik tukul Thor nampaknya telah dibelah menjadi dua seksyen berasingan manakala ruang belakang pula menampilkan jaluran lampu LED melintangi bahagian tersebut. 

Sementara itu, peranan cermin sisi telah digantikan dengan penggunaan kamera di kanan dan kiri. 
 


Sistem infotainmen pula terdiri daripada skrin sentuh menegak bersaiz 15 inci yang dikuasakan oleh sistem HMI Android, dan diiringi dengan skrin bersaiz 12.5 inci di bahagian pemandu. 

Sistem HMI ini turut merangkumi beberapa penderia pintar yang mampu menjalankan beberapa tugas seperti pengesan pergerakan mata, serta sensor penderia jarak dekat (proximity) yang amat berguna kepada pemandu untuk 'mengakses' tetapan yang dihadkan ketika fasa pemanduan. 
 


Di awal artikel, kami ada menyebut berkenaan penggunaan bahan yang lebih lestari dan mesra alam, jadi Polestar telah menggunakan beberapa bahan berasaskan komposit flax pada panel dan bahagian belakang tempat duduk, permukaan kerusi yang dijahit secara 3D daripada penutup botol PET, bolster dan perehat kepala daripada vinil gabus yang dikitar semula, dan karpet daripada jaring nelayan. 

Model konsep Polestar Precept akan dipamerkan secara rasmi pada Geneva Motor Show, minggu hadapan. 

Add new comment

Berita Berkenaan

Informasi
Malah, ciri yang paling ringkas seperti kluster meter digital sudah pun dianggap pelik - apa ke…
Berita Global
Seperti yang diumumkan oleh Nissan beberapa ketika dahulu, kereta sports generasi ketujuh itu…
Informasi
    Sejak memperkenalkan program Hyundai Nexo, Hyundai telah melabur $6.4 billion pada…