Disebabkan sambutan yang diterima agak menggalakkan, model tersebut diberikan lampu hijau untuk memasuki fasa produksi, dan kini hadir dalam bentuk Polestar 2 BST Edition 270.
Kenapa 270?

Ini kerana model Polestar 2 ini berstatus edisi terhad, dan hanya 270 unit sahaja yang akan dihasilkan untuk tiga pasaran utama - Amerika Utara, China dan Eropah.
Model Polestar 2 BST Edition 270 ini membawakan rupa paras yang hampir sama dengan versi konsep, namun didatangkan dengan rekaan bampar depan yang sedikit kurang agresif, penambahan skirt sisi, gril depan yang direka semula, serta pemasangan jalur matte-black sebagai ciri opsyen.
Keempat-empat arka roda dipasangkan dengan rim hitam bersaiz 21 inci yang dibaluti tayar Pirelli P Zero 245/35R21 yang direka khusus untuk model Polestar 2 ini.

Berbanding model Polestar 2 standard (402 hp), unit trenkuasa motor elektrik pada model edisi terhad ini telah ditala semula supaya mampu menghamburkan kuasa setinggi 470 hp dan 680 Nm.
Sistem casis telah ditala semula menampilkan suspensi yang direndahkan sebanyak 25 mm, serta tetapan baharu yang terdiri daripada peredam boleh laras Ohlins, spring yang lebih tegar 20 peratus, dan penambahan bar strut di bahagian depan di mana kesemua komponen itu mampu menambahbaik tahap responsif dan pengendalian EV sporti ini.
Sistem brek pula tidak diusik, memandangkan sejak dari kilang Polestar 2 ini telah tersedia dengan brek Brembo dengan angkup empat omboh.

Harga jualan untuk Polestar 2 BST Edition 270 tidak didedahkan, namun pihak yang berminat boleh terus mendaftarkan diri menerusi laman web rasmi syarikat tersebut.
Produksi hanya akan bermula pada pertengahan tahun ini, sementara pengedaran unit pertama pula dijangka akan dibuat pada suku keempat tahun ini.