Tidak ramai di antara kita yang mendapat akses kepada pembelajaran pemanduan dunia nyata, kebanyakannya bermula dari sekolah memandu selepas usai SPM.
Tidak kurang juga yang 'memandu' menerusi simulasi permainan video arked atau PC, tapi ia tetap tidak mampu untuk menyamai pengalaman dari dunia sebenar.
Salah satu cara yang kerap digunakan oleh ibu bapa adalah menerusi go kart atau ATV, dan ini merupakan antara cara yang berkesan bagi memberikan pendedahan awal kepada dunia pemanduan.
Ford Ranger.. maaf, Polaris Ranger 150 EFI ini merupakan sejenis ATV atau trak pikap mini yang disasarkan kepada pengguna kanak-kanak berusia sehingga 10 tahun.
Dengan kapasiti muatan sehingga dua orang pada satu-satu masa, enjin empat lejang 150 cc sejukan udara dan minyak itu menyalurkan kuasa secukupnya kepada sistem pacuan dua roda menerusi transmisi CVT.
Sekiranya anda bimbang anak-anak anda tidak mampu mengawal kuasa yang diberikan, aplikasi mudah alih Ride Command System boleh mengehadkan kelajuan tertinggi ATV ini sehinggalah mereka menguasai skil yang sepatutnya.
Malah, anda juga boleh mengehadkan jarak operasi ATV ini dengan menetapkan perimeter geo-fence yang terbina pada aplikasi mudah alih ini, memudahkan anda memantau aktiviti pergerakan anak-anak anda.
Menarik bukan?
Dalam mod biasa tanpa sebarang sekatan kelajuan, Ranger 150 ini mampu pergi sepantas 47 km/j, cukup laju untuk menyerang mana-mana permukaan bukit yang tidak rata.
Sistem stereng dan tempat duduk boleh laras juga turut disertakan sebagai pendedahan awal kepada cara pemanduan dunia sebenar.
Trak pikap mini ini mampu mengangkut beban seberat 23 kg pada truck bed di bahagian belakang.
Dengan bentuknya yang tidaklah seburuk tipikal jentera ATV yang berada di pasaran, ia mampu menarik minat terutama golongan kanak-kanak untuk mempelajari teknik asas dinamik pengendalian kenderaan pada usia yang muda.
Walaupun harganya sedikit mahal, bermula dari $5,499 (RM22 ribu) termasuk dua buah helmet percuma, Solaris Ranger 150 ini mampu untuk menyediakan platform yang selamat untuk anak-anak anda.
Sumber: Solaris