Pokok tumbang - ratusan penumpang LRT terkandas

oleh SALINA JALIL|
gambar ihsan JBPM
Ratusan penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) terperangkap selepas beberapa tren LRT terkandas akibat kejadian pokok tumbang membabitkan tren Laluan Ampang - Sri Petaling, petang tadi.


Kejadian itu menyebabkan perjalanan tren daripada kedua-dua arah terpaksa dihentikan untuk keselamatan dan kerja-kerja menyelamat serta pembersihan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan kejadian ribut menyebabkan tidak kurang daripada 13 pokok tumbang dan menimpa trek LRT sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras.

 

"Gangguan perkhidmatan mula berlaku sekitar jam 6.39 petang menyebabkan beberapa tren terkandas di atas trek sekali gus memerlukan kerja-kerja mengeluar dan menyelamatkan penumpang.

 

"Proses itu terpaksa dilakukan secara berhati-hati kerana keadaan tanah yang licin dan berbecak di samping risiko panahan petir," katanya.

 

Operasi mengeluar dan memindahkan penumpang mengambil masa yang lebih lama daripada biasa atas sebab-sebab keselamatan kerana risiko yang dibawa ribut, hujan dan petir yang berlaku pada masa itu.

 

"Kerja-kerja mengeluar dan memindahkan penumpang selesai jam 10.20 malam namun kerja pembersihan trek dan pemeriksaan bagi memastikan trek adalah selamat akan berjalan sepanjang malam ini.

 

"Operasi mengeluar dan memindahkan penumpang dilakukan Pasukan Respons Kecemasan Rapid KL dibantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," kata kenyataan itu.

 

Menurut kenyataan itu lagi, penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling.

 

Bagi mengurangkan impak gangguan berkenaan, Rapid KL menyediakan perkhidmatan bas perantara di samping meneruskan perjalanan tren menggunakan landasan yang tidak terjejas oleh kejadian ribut petang tadi.

 

lrt
gambar ihsan pembaca

Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
Menurutnya, nasihat perjalanan itu dikeluarkan susulan musim puncak sempena perayaan dan cuti…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian diterima pihaknya…
Informasi
  Inisiatif itu bagi menghargai penumpang setia dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan…