PNB, Gentari sasar pasang 59 pengecas EV menjelang penghujung tahun ini

oleh Mohamad Hanif|
gambar hiasan
Syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan kerjasama Gentari Sdn Bhd dijangka akan memasang sehingga 59 unit pengecas kenderaan elektrik di 18 hartanah di bawah kumpulan PNB menjelang penghujung tahun ini, menurut laporan Bernama.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik PNB, Rick Ramli berkata, pemasangan pengecas EV itu akan merangkumi pelbagai lokasi termasuklah pejabat, hotel, pusat peranginan, kelab golf dan pusat membeli-belah.

Jelasnya, inisiatif ini adalah sejajar dengan komitment Rangka Kerja Kelestarian PNB untuk memaju usaha penyahkarbonan di dalam portfolio syarikat tersebut.

“Ia juga selari dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon Kerajaan Malaysia 2021-2030, iaitu komitment menubuhkan sehingga 10,000 pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gentari Green Mobility Haikal Zubir berkata pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan PNB yang mempunyai visi yang sama dalam perjalanan ke arah mobiliti hijau.

"Melalui kerjasama ini, Gentari akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan di hartanah PNB untuk menyokong keperluan pemandu kenderaan elektrik sekali gus menandakan pengembangan jejak infrastruktur pengecasan kami ke negeri Pantai Timur yang akan meningkatkan keyakinan pemanduan antara negeri," katanya.

PNB dan Gentari baru-baru ini melancarkan pembukaan pengecas EV yang terletak di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.

Stesen pengecasan yang pertama di Kelantan dan beroperasi 24 jam itu terdiri daripada dua unit pengecas AC, masing-masing berkuasa 11 kW dan 22 kW, sementara satu unit pengecas pantas DC 60 kW turut mempunyai dua poin pengecasan.

Sumber: Bernama