PNB berjaya bida nombor istimewa ‘PNB 1’ dengan harga RM173,800

oleh ONNY IZWAN|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengurus dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dilaporkan telah berjaya merangkul nombor pendaftaran kenderaan ‘PNB 1’ dengan harga RM173,800 selepas membuat bidaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sejak tiga bulan lepas.
 
Selain daripada itu, PNB juga telah berjaya membida nombor istimewa satu digit ‘PNB 2’ dengan harga RM48,200 dan ‘PNB 3’ (RM52,800) dan juga nombor istimewa dua digit – ‘PNB 88’ (RM52,800), ‘PNB 10’ (19,802), ‘PNB 11’ (RM28,800) dan ‘PNB 18’ (RM11,633).
 
Dari kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengerusi PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar semalam, beliau mengesahkan bahawa PNB turut berjaya membida 25 nombor pendaftaran kenderaan sebagai kegunaan rasmi syarikat nasional tersebut.

Wahid-1
 
Kenyataan Abdul Wahid dibuat sebagai membalas penulisan bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Datuk A. Kadir Jasin di blognya semalam yang menyebut bahawa PNB telah membeli tujuh nombor pendaftaran istimewa dari JPJ Pulau Pinang dengan harga RM387,835.
 
Pada permulaannya, Abdul Wahid menyatakan PNB telah memohon dari Menteri Pengangkutan agar 25 siri nombor yang diinginkan PNB iaitu (1,2,3,8,10,11,18,20,30,50,60,70,80,90,100,111,118,200,300,400,500,600,700, 800 dan 900)  diberikan khusus tanpa pembidaan.
 
Namun setelah dimaklumkan JPJ bahawa PNB perlu membida, organisasi tersebut telah membuat bidaan sebanyak RM419,006 bagi memastikan PNB dapat merangkul kesemua 25 siri nombor tersebut di mana purata RM16,760 dibelanjakan untuk satu nombor pendaftaran.

plet JPJ
 
Pengerusi PNB menerangkan bahawa nombor-nombor istimewa tersebut dibida adalah bertujuan untuk kegunaan kenderaan-kenderaan rasmi Kumpulan PNB termasuk kenderaan bergerak cawangan-cawangan Amanah Saham Nasional Berhad seluruh negara, kenderaan rangkaian hotel PNB Perdana, PNB Merdeka 118 dan lain-lain kenderaan rasmi.
 
Abdul Wahid juga menyebut bahawa beliau tidak berhasrat untuk menggunakan ‘PNB 1’ atau mana-mana di antara 25 siri nombor istimewa yang telah berjaya dibida oleh organisasi tersebut.

Bekas Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa beliau akan terus menggunakan nombor pendaftaran ‘W 8 D’ untuk kenderaan rasminya.
 
“Alhamdulillah saya selesa menggunakan kereta nasional Proton Perdana sebagai kereta rasmi dengan nombor pendaftaran W8D. Nombor tersebut adalah satu manfaat yang saya perolehi semasa berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2013-2016),” katanya.

JPJ
 
Abdul Wahid berkata 25 siri nombor istimewa tersebut bakal menjadi sebahagian aset jenama PNB dan pembayaran untuk nombor-nombor tersebut dibuat secara langsung kepada JPJ tanpa melalui mana-mana agen atau pihak ketiga.
 
Bagi mengelakkan tanggapan salah dari orang ramai dan pelabur, Pengerusi PNB juga menjelaskan bahawa perbelanjaan RM419,006 untuk 25 siri nombor tersebut “adalah datangnya dari dana milik PNB yang berjumlah RM40 billion.”
 
“Ianya bukan dari dana milik pelabur-pelabur ASNB yang berjumlah RM226 billion. Jadi, pembelian nombor-nombor tersebut tidak akan menjejaskan pulangan kepada pelabur-pelabur sama sekali,” jelas Abdul Wahid.

 

Artikel ditulis oleh Yusof Ismail, pengarang sumbangan untuk Careta Media

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik PNB, Rick Ramli berkata,…
Berita Domestik
UMW Holdings Sdn Bhd nampaknya semakin hampir untuk menjadi pemegang saham terbesar Perodua selepas…