PM - Tol percuma dan diskaun di 30 lebuh raya seluruh negara

oleh SALINA JALIL|
Tol percuma serta potongan harga hingga 50 peratus akan diberikan kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula jam 12 tengah malam Sabtu ini hingga 11.59 malam pada 1 Mei ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata persetujuan yang dicapai selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan manfaat keseluruhan RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

 

Ismail Sabri berkata, langkah kerajaan memperuntukkan dana untuk tol percuma dan diskaun itu selaras fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan.

 

"Pemberian tol percuma membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).

 

"Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April ini sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei depan, kepada semua kelas kenderaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

 

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Ismail Sabri berkata pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara– Selatan dan LPT juga akan diberikan ketika orang ramai dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing.

 

Jelasnya, ia akan mula berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam, 7 Mei depan hingga jam 11:59 malam keesokan harinya untuk semua kelas kenderaan.

 

"Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

 

"Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama-sama orang tersayang.

 

"Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya khususnya golongan berpendapatan rendah.

 

"Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya," katanya.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
“Tengku Zafrul telah mendapat maklumat terkini (mengenai Tesla), kerana mereka telah mengalami…
Berita Domestik
"Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya (rasionalisasi subsidi RON95…
Berita Domestik
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian…