PLUS terima pengiktirafan EOSP daripada NIOSH

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerima pengiktirafan pencapaian Pasport Keselamatan Operasi Lebuh raya (EOSP) daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) apabila seramai 11,650 individu dan pihak yang berkepentingan di lebuh raya PLUS telah menjalani Kursus Induksi Asas Keselamatan dan berjaya memperolehi EOSP daripada NIOSH dalam masa yang singkat sejak diperkenalkan pada 2017.

Perjanjian Memorandum Persefahaman EOSP yang dimeterai di antara PLUS dan NIOSH pada 2017 menyaksikan PLUS muncul sebagai syarikat konsesi lebuh raya yang pertama melaksanakan ‘Pasport Keselamatan’ di negara ini.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, “PLUS telah memperkenalkan EOSP pada tahun 2017 dan mewajibkan semua kontraktor, penyedia perkhidmatan atau kakitangan yang menjalankan aktiviti penyelenggaraan, projek pembinaan atau kerja-kerja rutin memperolehi Pasport Keselamatan daripada NIOSH sebelum mereka boleh menjalankan kerja-kerja terbabit di lebuh raya.”
 


Jelas beliau, keselamatan di lebuh raya merupakan elemen terpenting dalam perkhidmatan dan operasi lebuh raya PLUS. Oleh itu, inisiatif memperkenalkan EOSP ini dipercayai mampu mengorak langkah membudayakan dan meningkatkan amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam industri lebuh raya secara amnya.

Sebelum EOSP diperkenalkan, sebanyak 12 kematian membabitkan petugas di zon kerja telah direkodkan. Jumlah tersebut turun secara mendadak sebanyak 75 peratus apabila hanya 3 kes direkodkan pada tahun 2018.

“Individu yang telah menjalani kursus dan mendapatkan Pasport Keselamatan EOSP mempunyai kesedaran amalan keselamatan yang lebih tinggi ketika menjalankan tugas mereka di lebuh raya,” jelas Azman.

Pada masa yang sama, PLUS berhasrat untuk terus menambahbaik modul EOSP seperti penambahbaikan Pelan Pengurusan Trafik, memperkenalkan Kenderaan Keselamatan serta Penyelesaian Berinovasi PLUS yang memfokus ke arah Kematian Sifar di lokasi berisiko tinggi.

 


“Ini memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya secara amnya kerana risiko kemalangan di atas jalan raya atau perkara-perkara yang boleh mendatangkan bahaya dapat dikurangkan dari masa ke masa,” kata Azman.

Pengurangan risiko kemalangan oleh individu dan pihak berkepentingan yang mempunyai EOSP adalah sejajar dengan komitmen PLUS untuk terus menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang selamat serta memberikan pengalaman perjalanan yang lancar dan selesa kepada orang ramai pada setiap masa.

PLUS turut menyampaikan Sijil Penghargaan EOSP kepada 3 Rakan Kontraktor PLUS yang telah menyertai program EOSP secara aktif.

Azman berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah yang disempurnakan oleh Pengerusi NIOSH, Tan Sri Datuk Seri Lee Lam Thye kepada pihak PLUS, hari ini. Turut hadir adalah Pengerusi PLUS, Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim. 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Rawi, masalah utama Smart Lane ialah ramai pengguna yang tidak tahu laluan kecemasan di…
Berita Domestik
Sehubungan dengan itu, pihak PLUS akan mengaktifkan SmartLane di 14 lokasi tumpuan trafik…
Berita Domestik
MyPLUS-TTA merupakan sebuah aplikasi berkonsepkan pengagihan trafik berdasarkan polar perjalanan…