PLUS Keluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan

oleh Hamimah Hamid|
JUMLAH trafik sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 28 Januari sehingga 6 Februari depan dijangka meningkat kepada 1.6 juta kenderaan, berbanding 1.4 juta ketika kini.

Justeru PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan kepada orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

cadangan jadual pergerakkan

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, TTA itu dilaksanakan bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak sempena perayaan terbabit.

“Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi-destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak serta Johor disaran supaya mula memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.

“Untuk ke destinasi-destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, kita nasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuhraya selepas jam 1 tengahari,” katanya.

Menurut Datuk Zakaria, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan berpandukan TTA terbabit bagi mengelakkan kesesakan.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

Katanya, Pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

"Kita juga menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memandu dengan lebih berhati-hati dan lebih peka ketika hujan serta mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan.

"Selain itu, perancangan perjalanan yang teliti dan penyelenggaraan kenderaan perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan keselamatan selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang serta kerusi keselamatan kanak-kanak.

"Pemandu juga diingatkan sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan ketika memandu di lebuh raya," katanya.
Pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800 88 0000 yang beroperasi 24-jam setiap hari.

Bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar di lebuh raya, pemandu harus memastikan baki kad Touch 'n Go dan baki eWallet RFID Touch 'n Go sentiasa mencukupi.