Plus jangka lebih 2.2 juta kenderaan sehari pada waktu puncak sambutan Aidilfitri

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) meramalkan lebih 2.2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh raya kendaliannya setiap hari pada hari puncak sempena musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, hari puncak tersebut dijangka berlaku antara 27 hingga 29 Mac, serta 4 hingga 6 April, berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 31 Mac dan 1 April, serta perayaan Qing Ming pada 4 April.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Beliau turut menjangkakan lebih 70,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang tempoh tersebut.

“Sebagai persediaan, PLUS akan melaksanakan tiga strategi utama bagi membantu perjalanan pengguna Lebuhraya PLUS dan LPT2 meliputi aspek pengurusan trafik dan insiden yang efisien, pengagihan trafik melalui aplikasi MyPLUS-TTA dan tambahan kemudahan awam demi keselesaan pengguna.

“Selain itu, pendekatan lain termasuk pelaksanaan Op Selamat pada 29 Mac hingga 3 April, pemberhentian sementara kerja di laluan utama dari 27 Mac hingga 7 April dan larangan kenderaan berat pada 29 hingga 30 Mac serta 5 hingga 6 April.”

Beliau berkata demikian ketika sidang media persediaan PLUS dalam menguruskan peningkatan trafik sempena Aidilfitri 2025.

Bagi pengurusan aliran trafik, PLUS mengambil beberapa langkah proaktif, termasuk pengaktifan 28 laluan SmartLane di lokasi strategik dengan tambahan tiga lokasi baharu.

Selain itu, larangan terhadap kenderaan berat juga akan dikuatkuasakan dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan.

PLUS turut memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi mudah alihnya, MyPLUS-TTA, yang membolehkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih cekap sepanjang musim perayaan ini.

Lebih 5,000 petugas akan dikerahkan di sepanjang Lebuhraya PLUS dan LPT2 bagi memastikan perjalanan pengguna lancar dan selesa.

Selain itu, sebanyak 59 lokasi tandas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah serta Plaza Tol telah dinaik taraf sejak tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha PLUS meningkatkan kemudahan untuk orang ramai.

Orang ramai disarankan merancang perjalanan mereka lebih awal dan mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan oleh PLUS bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Pengurusan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 25 kawasan ‘hotspot’ dan 46 kawasan ‘black spot’ di lebuhraya seluruh negara yang sering menjadi lokasi kemalangan.

Ketika ditanya mengenai jumlah anggota polis yang akan bertugas sepanjang musim perayaan ini, beliau berkata butiran lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan pada pelancaran Op Selamat yang dijadualkan pada 23 Mac ini.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata pelaksanaan larangan itu diwartakan oleh kerajaan pada 21 Okt tahun lepas dan…
Berita Domestik
Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Sazali berkata, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi 7…
Informasi
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (…