Beliau berkata, JustGo menggunakan teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR) atau pengecaman nombor pendaftaran kenderaan secara automatik, yang membolehkan pengguna masuk dan keluar melalui mana-mana lorong termasuk lorong Touch 'n Go, RFID atau SmartTAG.
"Semua lorong boleh digunakan. Jika pengguna masuk melalui lorong Touch 'n Go dan mahu keluar melalui lorong RFID pun boleh. Begitu juga jika masuk melalui lorong RFID dan keluar melalui SmartTAG atau sebaliknya.
"Pada peringkat awal (pelancaran pada Ogos), sistem ini akan digunakan di seluruh lebuh raya PLUS sebelum diperluaskan kepada pengendali lebuh raya lain. Sebagai permulaan, ia dibuka untuk kenderaan Kelas 1 dahulu," katanya ketika ditemui di Balai Berita, Bangsar, di Kuala Lumpur pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat konsesi lebuh raya lain untuk menyertai ekosistem JustGo.
"Visi JustGo adalah untuk dimiliki oleh industri dan bukan hanya satu syarikat. Matlamat utama bukan semata-mata menjana keuntungan, tetapi memudahkan perjalanan pengguna.
"Setakat ini, aplikasi JustGo sudah dimuat turun hampir 300,000 pengguna, manakala sasaran jangka pendek adalah untuk mencapai sejuta pengguna," katanya.
Beliau juga berkata, sistem itu kini berada dalam fasa rintis di sembilan plaza tol di wilayah utara, membabitkan laluan antara Sungai Dua hingga Hutan Kampung.
"Pengguna kini mempunyai kebebasan memilih lorong yang kurang sesak. Jika satu lorong dipenuhi kenderaan atau lori, mereka boleh terus menggunakan lorong lain tanpa sebarang masalah.
"Teknologi ANPR ini dilihat mampu membantu mengurangkan kesesakan di plaza tol kerana pengguna tidak lagi perlu memadankan mod pembayaran dengan lorong tertentu," katanya.
Beliau berkata, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGo, mendaftarkan akaun serta kenderaan, sebelum menghubungkan kad debit atau kad kredit ke dalam sistem.
"Tiada pelekat, tag atau peranti tambahan diperlukan. Semuanya dilakukan menerusi aplikasi. Satu akaun boleh didaftarkan sehingga 10 kenderaan, namun setiap kenderaan hanya boleh didaftarkan kepada seorang pengguna sahaja.
"Pembayaran tol akan ditolak terus daripada kad yang dipautkan tanpa perlu membuat tambah nilai terlebih dahulu," katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan Multi-Lane Free Flow (MLFF), beliau berkata JustGo adalah antara langkah persediaan ke arah pelaksanaan sistem berkenaan pada masa hadapan.
"MLFF adalah keputusan kerajaan. Namun, pelaksanaan JustGo dan penggunaan teknologi ANPR ini adalah sebahagian daripada usaha persediaan kami sebelum sistem MLFF diperkenalkan," katanya.