Platform modular EVX ini direka untuk kenderaan dengan jarak antara roda bermula dari 2,900 mm sehingga 3,100 mm - bermakna ia boleh digunakan oleh pelbagai segmen kenderaan seperti kereta sports GT, sedan, crossover, coupe dan convertible.
Menurut Williams, pelantar baharu ini juga boleh digunakan oleh pengeluar OEM, atau pendatang baharu yang ingin menceburi bidang EV.
Salah satu ciri yang diketengahkan adalah rekaan casis utama modular yang mengintegasikan pek bateri sebagai sebahagian daripada struktur badan, dan ia memberikan lebih kebebasan kepada pengeluar untuk hadir dengan rekaan badan yang tersendiri.
Selain daripada itu, platform EVX menawarkan trenkuasa yang dibangunkan sendiri oleh Williams AE (hasil daripada penglibatan di dalam Formula E) yang mampu menghasilkan 1,341 kuasa kuda, serta pek bateri 160 kWh yang membenarkan jarak operasi sehingga 1,000 km!
Terdapat pilihan konfigurasi pacuan roda belakang, atau pacuan semua roda.
Untuk memastikan casis yang ringan dan kukuh, platform EVX ini menggunakan bahan komposit yang dikitar semula bersama-sama dengan bahan aluminium.