Plantif menang tuntutan saman terhadap MPKj kerana jalan berlubang

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Plantif, Fahrurrazi Hamid menang tuntutan pampasan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas keretanya mengalami kerosakan akibat jalan berlubang.


Tuntutan mahkamah telah dibuat bagi mendapatkan pampasan bagi dua tayar dan empat rim tayar, antara lainnya.

 

Mahkamah berpihak kepadanya dan memerintah MPKj menyelesaikan tuntutan sebanyak RM2,980, merangkumi kos empat rim (RM1,800), satu tayar (RM800), ruang pelaras (RM180), dan caj tunda (RM200).


Kejadian berlaku ketika Fahrurrazi memandu pada waktu malam di Jalan Sungai Long berhampiran Taman Perniagaan Budiman pada September 2020. Kereta beliau telah melanggar lubang pada jalan yang menyebabkan tayar dan rim kiri belakang keretanya rosak.


Beliau telah cuba untuk mencari rim dengan reka bentuk yang sama tetapi gagal dan terpaksa menggantikan keempat-empat rim dan dua tayar dengan kos keseluruhan RM3,580.

Beliau telah memfailkan tuntutan terhadap MPKj dan hanya ditawarkan RM1,430 daripada Takaful Malaysia Berhad, syarikat insurans majlis tempatan itu, sebagai pampasan bagi kos satu tayar dan satu rim.


Walaupun beliau cuba meminta untuk jumlah disemak semula tetapi telah ditolak. Tidak berputus asa, beliau cuba membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna tetapi dimaklumkan bahawa tribunal itu tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu.


Seterusnya beliau memfailkan tuntutan kecil di Mahkamah Majistret Kajang dan perbicaraan berlangsung pada 15 Julai lalu.


Mewakili dirinya sendiri di mahkamah, Fahrurrazi menjelaskan mengapa beliau terpaksa menggantikan keempat-empat rim itu dengan kos RM450 bagi setiap rim terpakai.


Dalam hujahnya, beliau telah menyatakan bahawa beliau tidak menjumpai rim dengan reka bentuk yang sama untuk menggantikan rim yang rosak dan rim terpakai juga lebih murah berbanding membeli empat rim baharu, yang berharga RM687.50 setiap satu, atau RM2,750 bagi kesemuanya.


MPKj yang diwakili penolong pegawai undang-undang, Muhidin Mahmud telah berkata bahawa pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelenggara semua jalan bawah bidang kuasanya dan menafikan liabiliti.


Beliau mendakwa, pemanduan melulu Fahrurrazi menjadi punca kejadian, seperti yang terbukti dengan rim dan tayar yang rosak.


Muhidin juga menyatakan bahawa tuntutan penggantian keempat-empat rim adalah pengayaan yang tidak adil kerana hanya satu rim yang rosak.


Walau bagaimanapun Majistret Noor Firdaus Rosli memutuskan bahawa MPKj bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi.


“Melihat gambar daripada plaintif, memang wujud lubang,” katanya sambil menambah bahawa jalan tersebut jelas kelihatan tidak diselenggara dengan baik.


Majistret turut berkata bahawa sama ada plaintif menyumbang kepada kerosakan itu, dari pandangan saya ia adalah negatif.


Beliau turut berkata bahawa kejadian berlaku pada waktu malam, dan mana-mana pengguna jalan raya secara munasabah (waras) tidak boleh dianggap menyedari dan mengubah haluan kenderaan mereka untuk mengelak lubang itu katanya lagi.


Mengenai hujah yang dikemukakan oleh MPKj bahawa wujud unsur pengayaan yang tidak adil untuk menggantikan keempat-empat rim, majistret Nur Firdaus berkata ia adalah tidak masuk akal jika kereta boleh dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk dalam satu masa.


Memetik Kertas Teknikal SAE bertajuk “Kesan reka bentuk roda pada seretan aerodinamik kenderaan penumpang” yang diterbitkan tiga tahun lepas, Noor Firdaus berkata: “25 peratus daripada seretan aerodinamik kenderaan disebabkan oleh rodanya, dan mencadangkan sesebuah (kenderaan) untuk dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk hanya akan mengundang akibat (buruk) yang tidak dijangka, selain daripada hakikat bahawa (perkara ini) tidak pernah dibuat, sekurang-kurangnya oleh mana-mana individu yang munasabah (waras).”


Namun, majistret tidak membenarkan tuntutan tayar tambahan itu kerana ia tidak mempunyai justifikasi.


Berhubung tindakan saman Fahrurrazi terhadap Takaful Malaysia, dakwaan tersebut dibuang kerana tiada hubungan undang-undang antara beliau dan syarikat tersebut.
 

 

 

FMT

Berita Berkenaan

Berita Global
  Kampung tersebut dipercayai sudah menanti selama 10 tahun untuk kerajaan membaiki jalan raya…
Berita Global
  "Macam tu je pihak yang bertanggungjawab kena 'taruk' dengan rider luar negara pasal tak reti…
Berita Domestik
  Gambar yang dimuatnaik oleh 'Facebook' Brotherhood Shah Alam itu telah menunjukkan seorang…