PKP - Pemandu Gen2 didakwa atas cubaan membunuh anggota tentera

oleh Mohamad Hanif|
Di Melaka, seorang lelaki telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Ayer Keroh atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang minggu lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mohd Haiqal Hamdan, 25 yang merupakan pekerja kedai makan didakwa cuba membunuh Alexson Anak Franky, 21 dengan melanggar sekatan jalan raya menggunakan kereta jenis PROTON Gen2 berwarna merah pada 4.30 petang, 23 Mac lalu.

Kesan daripada pelanggaran itu, mangsa cedera di peha kiri dan kanan dan mungkin menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Malah, lelaki itu juga didakwa gagal mengemukakan identiti pengenalan diri ketika ditahan polis di Jalan Klebang Kecil pada jam 3 petang, 24 Mac lalu mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan Mohd Haiqal diikat jamin RM8,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu ibunya perlu menjadi penjamin.

Mahkamah menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, manakala tertuduh diwakili peguam, S S Amritpal Singh.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh bersama teman wanitanya, Norsyazlina Mohd Asri, 21 dijatuhkan hukuman penjara setahun kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perintah itu dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee ke atas mereka selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 24 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didapati melanggar PKP ketika operasi SJR di hadapan pondok pengawal Kem Terendak, Sungai Udang, di sini tanpa alasan munasabah.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang boleh dihukum di bawah peraturan 7(1) peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Berita Harian