PKP: Bot-bot rekreasi langgar arahan dan masih beroperasi

oleh SALINA JALIL|
Masih terdapat lagi bot-bot rekreasi yang berdegil, dengan melakukan aktiviti memancing di sekitar perairan Selat Melaka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.


Beliau berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku dan komuniti laut seharusnya akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumum oleh kerajaan sebagai langkah mencegah jangkitan COVID-19.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Mendedahkan perkara itu, Che Engku Suhaimi berkata hanya komuniti nelayan yang berlesen sahaja dibenarkan untuk ke laut manakala yang selebihnya seperti kegiatan menjala ikan dan mengutip kupang secara berkumpulan ketika air laut sedang surut, tidak dibenarkan.

 

"Saya dapat melihat kegiatan sedemikian (memancing, menjala dan mengutip kupang) berlaku di sekitar pesisir pantai perairan Pantai Morib, Pantai Sepang dan Port Dickson di Negeri Sembilan.

 

“Mereka keluar beramai-ramai termasuk membawa anak kecil sekali pergi mengutip kupang di pesisiran pantai,” katanya kepada Bernama ketika membuat tinjauan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, di sini, hari ini.

 

Pada 16 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP bermula 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 

Sementara itu, Che Engku Suhaimi berkata, pihak APMM terpaksa menggunakan pembesar suara dengan memberi peringatan dan menyuruh mereka pulang ke rumah.

 

“Alhamdulillah, mereka memberi kerjasama yang baik dan rondaan pemantauan PKP di perairan seluruh negara perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

 

Beliau berkata mana-mana perkhidmatan bot kurang penting (non-essential services boat) yang keluar ke laut, boleh diambil tindakan kerana melanggar PKP.

 

“Oleh yang demikian, pihak kami akan mempertingkatkan rondaan setiap hari bagi memantau mereka yang tidak terlibat dengan ‘essential services’ ini,” katanya.

 

Sementara itu, Bernama yang menyertai tinjauan udara Maritim Malaysia hari ini mendapati keadaan perairan khususnya Selat Melaka, terkawal.

 

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir mereka yang tidak mengendahkan PKP, masih melakukan aktiviti secara berkumpulan dan memancing di laut.

 

 

-- BERNAMA