Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, draf undang-undang menangani pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol atau pemanduan merbahaya itu akan melalui kelulusan Kabinet sebelum dibentangkan pada persidangan Parlimen bulan ini.
Ka Siong berharap draf perubahan itu akan mendapat sokongan Dewan agar akan wujud undang-undang yang lebih tegas bagi melindungi para pengguna jalanraya.
"Pihak kementerian akan terus mengadakan kempen pendidikan kepada orang ramai agar mereka menjadi pengguna jalanraya yang lebih bertanggungjawab," ujar beliau dalam kenyataan kementerian Sabtu lalu.
Menteri Pengangkutan yang cukup fasih berbahasa Melayu itu juga meminta orang ramai memainkan peranan dalam usaha mencegah pemanduan secara melulu dan mabuk.
Pindaan Akta 333 juga bakal memperincikan perkara lain seperti gejala basikal lajak atau kegiatan tidak bertanggungjawab yang lain yang mengabaikan keselamatan diri dan pengguna jalanraya yang lain.
* Laporan dari Astro Awani