Peugeot Traveller - setangki 800 km (RM169,888)

oleh HEZERI SAMSURI|
Sebenarnya dalam dunia automotif, tidak ada sesiapa yang mampu menandingi kepandaian Eropah dalam pembikinan sebuah MPV.

Mungkin kerana Eropah yang memulakan genre MPV, terutama jenama-jenama Perancis dan contoh yang terbaik di Malaysia ialah Peugeot Traveller.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pastinya anda pernah melihat Traveller ini semasa acara Sukan Sea tempoh hari. Ia digunakan sebagai kenderaan VIP rasmi untuk acara itu dan kini, kesemua MPV Traveller itu sudah bersedia untuk dijual.

Dengan kadar perbatuan yang rendah, Nasim Sdn Bhd, penjaga jenama Peugeot di Malaysia memastikan kesemua Traveller yang hendak dijual ini dalam keadaan terbaik dan lengkap dengan waranti 5-tahun (atau 120,000 km, mana terdahulu).

 

Careta meminjam sebentar Traveller ini selama empat hari untuk dipandu ke Taiping, Perak dan di bawah ialah apa yang kami dapat laporkan mengenai MPV modern ini.

  • Enjin yang digunakan ialah enjin 4-silinder sebaris, DOHC, 16 injap, turbodiesel dengan sesaran sebesar 1,997cc dan teknologi khusus untuk pelepasan asap bertaraf Euro 6.
  • Kerana ia menggunakan enjin mesra alam (green engine), harga cukai jalannya lebih rendah dari kenderaan petrol dengan enjin yang sama besar.
  • Kuasa maksimum ialah 150hp pada 4,000 rpm dan 370Nm  antara 1,750 rpm hingga 2,500 rpm. Peugeot menyarankan hanya bahan api diesel Euro 5 digunakan.

 

  • Transmisi ialah 6-kelajuan auto dengan teknologi yang mampu mempelajari gaya pemanduan pemandu agar tukaran gear lebih lancar dan lebih bersedia.
  • Kenderaan Eropah memang mementingkan pengendalian, dan sistem gantungan Traveller ini sendiri bukan calang-calang. Bahagian hadapan ialah dari jenis pegas Macpherson lengkap dengan "drop-link anti-roll bar". Bahagian belakang pula ialah dari spesis wishbone dengan trailing arm.
  • Stereng elektrik digunakan bagi menjimatkan bahan api, dan sebenarnya, jika kami tidak membawa risalah produk Traveller ini, Careta sendiri tidak perasan ia elektrik kerana rasa tindakbalas stereng ini terasa normal.

 

  • Dari segi saiz, Traveller ini 26mm lebih panjang dan 70mm lebih lebar dari Toyota Vellfire baharu. Toyota itu bagaimanapun 5mm lebih tinggi dari Traveller.
  • Dari segi prestasi, Peugeot menjangkakan Traveller ini mampu pergi selaju 170 kmsj dan pecutan 0-100kmsj ialah dalam 11 saat. Tidak hebat tetapi untuk MPV sebesar ini, ia masih dikira wow. Faktor enjin turbodiesel memang memainkan peranan.
  • Enjin diesel juga mampu menarik beban berat tetapi masih memberikan penggunaan bahan api yang rendah. Mengikut ujian Eropah (NEDC dan EU), Traveller memberikan 6.0L untuk setiap 100 km. Mmm... kereta pun banyak yang tidak sejimat ini.

 

  • Peugeot memberikan banyak kelengkapan atau gadget yang menarik. Antaranya ialah:
    • Lampu hadapan Bi-Xenon
    • Lampu DRL jenis LED
    • Sistem keyless sepenuhnya
    • Roda aloi 17 inci
    • Cermin hadapan dengan accoustic lamination
    • Lampu dan wiper automatik
    • Pengesan parkir depan belakang
    • Kamera 180-darjah dengan pandangan atas
    • Bumbung dengan tingkap panoramik
    • Head-up Display
    • Sistem audio dengan skrin sesentuh 7-inci dan Bluetooth, USB, Apple CarPlay, Mirrorlink dan 5 speaker hadapan serta 4 speaker di belakang

 

  • Dari segi kemewahan, balutan kulit Eropah untuk semua tempat duduk memang terbukti berkesan. Terasa seperti duduk di dalam sebuah limosin mewah, siap dengan bumbung bertingkap panoramik.
  • Untuk barisan kedua, mereka menikmati meja lipat dari belakang tempat duduk hadapan. Mereka juga mempunyai sunblind atau langsir untuk tingkap sisi (tingkap tidak boleh diturunkan ya).
  • Di samping itu, barisan kedua dan ketiga semuanya boleh digerakkan ke hadapan dan ke belakang bagi memberi ruang untuk mana yang memerlukan.
  • Tempat duduk barisan ketiga masih selesa untuk dewasa, dan pendingin hawa dengan lubang untuk setiap penumpang menjanjikan udara nyaman sampai dengan segera.

 

  • Ruang tempat barang sebenarnya biasa sahaja, tetapi seperti Alphard atau Vellfire, tempat duduk barisan ketiga boleh ditolak ke hadapan sedikit bagi mencipta ruang tambahan.
  • Satu perkara unik ialah wujudnya soket tiga pin di bawah tempat duduk pemandu dan aksesnya dari belakang. Ia mengingatkan kami kepada Ford Ranger Wiltrak yang juga mempunyai fungsi yang sama. Dari pengalaman kami, ia sesuai untuk digunakan bagi mengecaj kamera, laptop dan sebagainya. Jangan pula gunakan untuk seterika atau pemanas air atau periuk nasi ya! Jahanam bateri dan fius!
  • Dari segi pemanduan, tempat duduk pemandu ialah lebih seperti Hyundai Starex dan Maxus G10, di mana pemandu duduk tinggi. Ia tidak seperti Kia Grand Carnival di mana pemandu lebih duduk seperti di dalam sebuah kereta.

 

  • Namun begitu, kerana ia sebuah Peugeot, susun atur kelengkapan untuk pemandu jauh lebih selesa dan lebih mudah dicapai. Pemandu juga mampu melihat sekeliling dan untuk parkir, kamera yang diberikan membantu.
  • Tidak ada tuil gear kerana ia menggunakan rotary knob besar, seperti yang ada pada Jaguar dan Range Rover Evoque. Pusingkan untuk memilih mod transmisi. Unik dan jika ada komen yang bingit mengatakan ia bahaya kerana anak mudah mencapainya, jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab - letakkan anak di dalam kerusi mereka dan gunakan tali pinggang keselamatan. 
  • Ruang antara pemandu dan penumpang hadapan dibiarkan kosong, tanpa sebarang tempat letak barang atau apa-apa. Careta gunakan untuk meletakan beg tangan dan beg plastik penuh jajan. Mmm ... sayang kerana jika boleh, wujudkan rak atau compartment letak barang kerana untuk keluarga, ada seribu satu jenis barangan yang perlu ada.
  • Glovebox ataupun ruang barang bertutup pada papan pemuka mempunyai ruang yang besar. Tak cukup? Setiap pintu hadapan mempunyai rak-rak yang luas dan pelbagai barangan boleh diisikan seperti botol susu, tisu basah, lampin bayi, makanan dan mungkin sepucuk dua Beretta APX Striker semiautomatic.

 

  • Brek parkir ialah seperti kereta biasa, diletakkan di lantai bersebelahan dengan pemandu. Ia memang ke bawah sedikit dan pemandu perlu bongkok untuk mencapainya.
  • Dari segi keselamatan, Traveller menerima 5 bintang Euro NCAP (belum lagi diuji untuk Asean NCAP). 
  • Ciri-ciri keselamatan yang wujud ialah enam beg udara, Blind Spot Monitoring System (BLISS), Hill Start Assist, Electronic Stability Programme (ESP), ABS, EBD, EBA, Anti Skid Regulation (ASR), Dynamic Stability Control (DSC), Driver Attention Alert, enam punca ISOFIX dan banyak lagi.

 

  • Memandu di atas lebuhraya memang tidak menjadi masalah untuk MPV Eropah ini. Ia stabil dan tidak mengalami masalah bergoyang bila memotong atau dipotong superbus yang dipandu oleh pemandu berhemah dan mementingkan keselamatan penumpangnya.
  • Di jalan persekutuan (trunk roads), sistem gantungan dirasakan sedikit keras, lantas terus mengingatkan kami bahawa ini ialah sebuah kenderaan Eropah sejati. Nasib baik penumpang masih terasa selesa.
  • Selekoh-selekoh di jalanraya persekutuan diratah lazat oleh Traveller ini. Ya, walaupun bertubuh seperti peti sejuk milik danawa (raksasa), ia lincah mengambil apeks dan dengan kadar tork yang tinggi dari enjin turbodiesel itu, pemandu akan menyeringai kerana cukup mudah untuk memecut keluar dari selekoh.

 

  • Adegan memotong juga lebih mudah kerana kadar tork pada pertengahan banjaran tenaga enjin diesel ini yang galak. Transmisi automatik sudah bersedia untuk memberikan pecutan bagi memotong dengan selamat.
  • Tork yang tinggi itu juga memudahkan pendakian di kasawan pergunungan berhampiran Ipoh itu, dan Careta meminta maaf kepada Toyota Vellfire dan Alphard yang begitu gah menyusuri lebuhraya tetapi diminta ke tepi untuk memberi laluan kepada Traveller. Nyata Peugeot ini jauh lagi kuat untuk mendaki.

 

  • Satu lagi yang jarang kami temui semasa pengalaman kami bersama Traveller ini ialah stesen minyak. Kerana satu tangki Traveller ini mampu mencapai perjalanan sehingga 800 ke 900 km, kami hanya mengisi diesel bila mahu mengembalikan semual Traveller ini kepada Peugeot. Sangat jimat dan insya Allah penjimatan bahan api ini berguna bagi mereka yang berkeluarga.

Untuk yang berminat, baik segera lihat unit-unit yang ada di dewan pameran Peugeot.

Waranti lima tahun dengan jarak perbatuan 120,000 km serta jalinan servis yang lengkap di kawasan utama negara cukup untuk meyakinkan anda sudah tiba masanya keluarga anda menikmati sesuatu yang modern, kontemporari, selesa dan selamat.

Dan jika anda risau untuk mencari stesen minyak dengan bahan api diesel Euro 5, sebenarnya ada beratus-ratus stesen yang menjualnnya dan semakin hari, jumlahnya semakin bertambah.

Gunakan pautan kami ini untuk mencari stesen minyak diesel Euro 5 yang berdekatan dengan anda.

SENARAI STESEN MINYAK DENGAN DIESEL EURO 5

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengunjung bakal menikmati rebat yang menakjubkan lebih RM8,000 dan berpeluang memenangi "ketupat"…
Berita Domestik
Mereka semua telah disambut oleh Ketua Pegawai Operasi bagi ASEAN, Daniel Gonzalez dan Pengarah…
Berita Domestik
Ia merupakan sebahagian daripada peralihan Stellantis untuk menjadikan Stellantis Malaysia sebagai…