Peugeot perlihat hypercar 9X8 LMH

oleh Mohamad Hanif|
Kelas perlumbaan Le Mans Hypercar kini semakin menarik dengan beberapa pengeluar sudah pun mengesahkan penyertaan mereka di dalam perlumbaan berprestij itu.

Peugeot kini memperkenalkan secara rasmi jentera yang bakal berentap di dalam kelas LMH, iaitu 9X8 LMH setelah beberapa bulan mendedahkan informasi berhubung trenkuasa jentera LMH tersebut.

Menurut Peugeot, rekaan 9X8 LMH ini merupakan hasil daripada pertandingan yang dianjurkan, dan membawakan elemen-elemen daripada jentera Le Mans 905 yang telah memenangi perlumbaan pada tahun 1992 dan 1993, serta tidak ketinggalan pengaruh daripada rekaan moden Peugeot dan Sport Engineered.

 


Kemasukan Peugeot ke dalam perlumbaan endurance ini merupakan satu langkah ideal untuk menguji keberkesanan sistem hibrid terbaharu, serta medan untuk mendemonstrasikan keupayaan Peugeot di dalam teknologi hibrid serta enjin pembakaran dalaman.

Malah, CEO Peugeot Linda Jackson menjelaskan, selain daripada memenangi perlumbaan, tugas 9X8 di atas litar adalah untuk memperlihatkan usaha peralihan yang dilakukan oleh Peugeot, di mana 70 peratus daripada penawaran model Peugeot terdiri daripada kenderaan yang dielektrifikasi menjelang akhir tahun ini.

 


Satu perkara yang menarik pada jentera 9X8 ini adalah ketiadaan sayap belakang yang biasanya didapati pada jentera-jentera lumba yang bertanggungjawab terhadap aspek aerodinamik.

Menurut Peugeot, 9X8 LMH ini dibangunkan dengan aspek aerodinamik yang tidak memerlukan kehadiran sayap pada bahagian belakang, dan disebabkan itu 9X8 mampu untuk mencapai tahap daya turun yang diperlukan tanpa komponen tersebut.

 

 


Sebelum ini, Peugeot telah mengesahkan 9X8 akan hadir dengan unit trenkuasa hibrid HYBRID4 500KW, terdiri daripada enjin 2.6 liter bentangan V6 bersudut 90° yang memacu roda belakang, motor elektrik 268 hp pada gandar hadapan, serta bateri 900 voltan.

Secara keseluruhan, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 952 kuasa kuda, namun regulasi mengehadkan output tersebut kepada 670 kuasa kuda sahaja.

Baca: Perincian trenkuasa HYBRID4 500kW untuk jentera LMH Peugeot

Ketika ditanya sama ada Peugeot akan menghasilkan 9X8 versi jalanan seperti apa yang dilakukan oleh Toyota menerusi model GR010, beliau menjawab, "ia masih terlalu awal, kami mahukan kemenangan terlebih dahulu."

 


Untuk tahun 2021, Toyota sudah mengesahkan penyertaan bersama pasukan Scuderia Cameron Glickenhaus, manakala Peugeot akan bersama-sama ByKolles berentap bermula tahun hadapan.

Ferrari baru-baru ini turut mengesahkan kemasukan ke dalam perlumbaan tersebut, namun pengeluar itu hanya akan berlumba secara rasmi pada tahun 2023.

Berita Berkenaan

Berita Global
Menjelang tahun 2023, Peugeot mensasarkan 70 hingga 85 peratus model terdiri daripada kenderaan…
Berita Global
Menurut laporan daripada Top Gear, Pengarah Produk Peugeot Jerome Micheron menjelaskan, "jika anda…
Berita Global
Pesaing terus kepada model Volkswagen Golf itu memperlihatkan rupa hadapan yang garang, dimulakan…