Peugeot 3008 - teknologi sehebat Jerman, harga serendah Jepun/Korea (RM139k)

oleh HEZERI SAMSURI|
Peugeot sebenarnya hadir dengan SUV saiz sederhana 3008 ini seawal tahun 2010, tetapi dalam bentuk yang mengingatkan penulis kepada kapal angkasa dalam siri sitcom 80-an, Mork and Mindy. 

Bentuk bujur ala telur angsa itu sungguh tidak menampakkan ciri-ciri sebuah SUV.

Namun begitu, 3008 generasi pertama itu tetap popular kerana ruang kabin yang praktikal untuk keluarga serta ada yang sebenarnya suka bentuk itu - bukti bahawa manusia itu dilahirkan berbeza-beza.

Alhamdulillah, tahun 2017 menyaksikan Peugeot melancarkan generasi terbaharu 3008 dengan bentuk yang lebih normal kerana akhirnya 3008 mempunyai rekabentuk sebuah SUV. Bukan sekadar sebuah SUV, tetapi modern, ranggi dan agresif.

 

 

Dari segi rekabentuk, memang bahagian luar Peugeot ini menampilkan ciri-ciri Eropah tulen.  Ia umpama seorang gadis Perancis berambut perang dengan skirt labuh bertopi besar memetik bunga yang ditanam di pinggir jalan-jalan sekitar pekan Lourmarin. 

"You can't get any more French than this," detik hati penulis. Memang ia betul-betul menampakkan rekaan Peugeot.

 

 

Lampu brek belakang dalam bentuk tiga barisan itu bukan menandakan Peugeot sukakan Adidas, tetapi ia adalah konsep "claws" atau cakaran singa dan wujud pada semua model-model kenderaan Peugeot terkini.

Bahagian hadapan, lampu LED utama (varian Allure sahaja) yang tajam dan mengapit gril yang garang itu memang satu rekaan yang berani sementara bahagian bawah bamper penuh dengan garisan-garisan liang udara.

 

 

Dari sisi, lekuk pada tiang C memberikan sentuhan unik sementara bar krom pada bahagian bawah pintu memang satu ciri Perancis yang tidak boleh disangkal.

Masuk ke dalam kabin dan kejutan diteruskan dengan papan pemuka konsep i-Cockpit, konsol gear di tengah yang mempunyai tempat simpanan sebesar 11 liter dan permainan bahan-bahan seperti aloi krom, plastik lembut, komposit berkilat dan kulit premium. 

 

 

Dari stereng kompak yang rata atas dan bawah, skrin-skrin LCD berwarna serta panel meter sehingga corong pendingin hawa berkrom, anda pasti menghela nafas panjang sambil memuji kecantikan dan kekemasan kabin 3008 terkini.

Di waktu malam, 3008 varian Allure (paling tinggi) diberikan fungsi ambient lighting di mana jaluran lampu LED menyirami bahagian kabin hadapan dengan cahaya lembut. Sungguh mahal! 

 

 

Malah sepanjang seminggu kami bersamanya, tidak ada seorang pun yang tidak terkejut melihat ruang kabin 3008 itu. Pelbagai pujian diberikan - malah ada juga yang berkata ia lebih hebat dari model Jerman yang berharga dua kali ganda dari Peugeot ini.

Dari segi fungsi dan kelengkapan, skrin sesentuh di atas papan pemuka itu mempunyai aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto. 

 

 

Kualiti audio boleh dikatakan baik dan ia datang lengkap dengan audio processor Arkamys 3D Sound Staging. Cuma Pengurus Jualan dan juga Penulis Kanan kami, Salina Jalil berkata tidak cukup oomph bila lagu kegemaran beliau, Lagi Syantik oleh Siti Badriah dimainkan. 

"Mungkin perlu ada penambahan subwoofer kepada sistem tersebut," ujar beliau.

Konsol meter pula 100 peratus digital, dan mempunyai tiga jenis paparan meter - Personal. Dials dan Minimal. Anda boleh memilih paparan yang sesuai dengan mood anda. 

 

 

Jadi sekarang kita sudah tahu ia cantik luar dan dalam. Adakah ia juga mampu memberikan prestasi sebaik rupa parasnya?

Kali pertama penulis memandunya ialah ketika sesi pandu uji media ke Taiping, dan penulis rasa teruja dengan prestasinya. 

Namun begitu, kenderaan baharu pastilah seronok. Jadi penulis ambil sekali lagi 3008 ini selepas lebih setengah tahun di dalam pasaran dan menguji apakah benar 3008 ini betul-betul menarik.

 

 

Perjalanan kali ini tidak begitu jauh - hanya turun ke sarang harimau selatan melalui lebuhraya dan kemudian kembali menggunakan beberapa jalan dalam di sekitar Melaka dan Negri Sembilan.

Di bawah hud hadapan ialah enjin 4-silinder 1.6L Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) yang sudah terbukti dan digunakan pada model-model yang lain. 

Untuk pasaran Malaysia, memang inilah pilihan tunggal untuk enjin petrol dan ia menghasilkan 165 hp dan daya kilas pada 240 Nm dari kitaran enjin serendah 1,400 rpm. 

 

 

Ia menyampaikan tenaga dalam hantaran yang agresif bila RPM semakin meningkat. Mungkin ada yang berkata enjin turbo Jerman lebih lancar tetapi pada hemat penulis, perlu ada sedikit "kekasaran" yang memberikan rasa sporti agar kita tahu kita sudah hampir kepada garisan merah takometer.

Transmisi 6-kelajuan automatik didatangkan dengan teknologi Quickshift dan kami tidak ada masalah dengannya. Penggunaan paddle-shifter juga membantu dalam usaha mencapai nirvana pemanduan dari SUV ini.

 

 

Walaupun ia sebuah SUV dengan jarak lega bumi setinggi 22 cm, 3008 ini masih lagi mampu mengawal olengan badannya di selekoh-selekoh. Ia tidak sehebat 208 GTi atau 308 GTi tetapi masih mampu menakutkan kereta-kereta biasa yang lain. 

Halaju maksimum ialah pada 206 kmsj sementara pecutan 0 ke 100 kmsj dilakukan dalam 8.9 saat. Angka-angka itu cukup menarik untuk sebuah SUV pada harganya tetapi masih tidak cukup untuk menghalang Myvi Kuning dari menyucuk ekor.

 

 

Sebuah SUV pasti mampu meredah sedikit kesukaran permukaan, tetapi umum mengetahui crossover pacuan roda hadapan lebih kepada propa sahaja. Kemampuan off-road genre ini sama seperti mengharapkan Britney Spears untuk memasak gulai ikan asam pedas Melaka - hampeh.

Namun begitu, 3008 menggunakan teknologi Advanced Grip Control dari Peugeot dan ada lima mod pemanduan yang membantu sedikit pemandu bila keadaan terdesak. Mod-mod tersebut ialah mod normal. ESP off, Salji, Lumpur dan Pasir. 

 

 

3008 ini juga sarat dengan fungsi elektronik seperti Hill Assist Descent Control, Hill Start Assist, ESP, ABS, EBD, EBA, ASR, DSC dan sebagainya. Ia juga ada sistem pengesan tekanan udara tayar dan Driver Attention Alert. 

Tidak keterlaluan untuk dikatakan ia mempunyai teknologi secanggih kenderaan jenama Jerman, tetapi pada harga yang sama atau lebih rendah dari jenama Jepun.

Pasti akan ada yang memberi komen akan kos penyelenggaraan dan juga nilai harga terpakai jenama ini. 

 

 

Tak apa, mereka sebenarnya "meroyan" kerana tidak berkemampuan dan tidak berani untuk menggunakan kenderaan Eropah yang direka khusus untuk mereka yang tahu tentang pemanduan. 

Jadi bila mereka-mereka itu bercerita tentang kenderaan, perlu faham mereka cuma berpengalaman memandu sebuah dua model lazim sahaja - ambil selekoh 60 kmsj tetapi bercerita seperti dipandu selaju 200 kmsj. 

Suruhlah mereka bercerita kepada makcik di belakang rumah dan geng akak membawang di kampung. 

 

 

Kenderaan Eropah memang tidak akan selasak kenderaan yang "simple" atau ringkas kerana ia dibina untuk memberikan kepuasan pemanduan. Ia "semanja" model-model Asia yang juga berteraskan kemampuan pemanduan tegar. 

Jangan samakan sebuah Macbook Pro Retina Display dengan sebuah kalkulator dengan skrin berwarna. 

 

 

Jangan samakan hasil pulangan mereka yang memancing di laut dalam dengan yang memancing di jeti hadapan pasar awam.

 

Spesifikasi

Enjin
1,598cc, Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) dengan Direct Injection, 4-silinder sebaris, DOHC 16-injap, VVT

Kuasa maksimum
167 PS @ 6,000 rpm

Tork maksimum
240 Nm @ 1,400 rpm

Transmisi
6-kelajuan auto dengan Teknologi Quickshift dan Paddle Shifter

Saiz tangki bahan api
53 Liter

Saiz but
591 liter (1,670 liter bila tempat duduk dibaringkan)

Kelajuan maksimum
206 kmsj

Pecutan 0-100 kmsj
8.9 saat

Penggunaan bahan api (EU)
7.0 liter / 100 km

Ciri-ciri keselamatan
6 beg udara, Advanced Grip Control dengan 5-mod, Hill Assist Descent Control, Hill Start Assist, ESP, ABS, EBD, EBA, ASR, DSC, etc

Harga
GST 0% + Penjimatan Raya = RM133,826.60

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Harga baharu ini berkuatkuasa 15 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2020. Senarai harga boleh dirujuk…
Berita Global
Nampaknya, peranan yang dibawakan suatu ketika dahulu akan diteruskan lagi oleh generasi terbaharu…
Berita Global
  Bermula dari situ, kesemua kereta konsep Peugeot tampil dengan i-Cockpit® yang kemudian…