PEUGEOT 3008 SUV GT Hybrid4, SUV hibrid berkuasa 300hp!

oleh Muhammad Md Tajudin|
PEUGEOT 3008 adalah sebuah SUV segmen C seperti Proton X70, Honda CR-V, Nissan X-Trail dan pelbagai lagi model dengan kelebihan tersendiri. 3008 turut dijual di negara kita sejak beberapa tahun dahulu dan versi pemasangan tempatan (CKD) baru sahaja dilancarkan pada harga RM151,000 (Active) dan RM164,000 (Allure). 

Selain harga yang menarik dan setara model-model Asia, 3008 juga menawarkan gaya sensasi dan menawan. SUV ini lebih kepada fashion statement di atas jalan raya, satu ciri yang sinonim dengan PEUGEOT sejak dahulu lagi.

Di United Kingdom PEUGEOT baru sahaja mengumumkan varian baharu iaitu 3008 SUV GT Hybrid4 yang bakal dijual kepada umum beberapa bulan lagi.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
PEUGEOT 3008 SUV GT Hybrid4

 

Varian yang dilancarkan ini bukan sekdar model biasa, ia menggabungkan teknologi pacuan empat roda dan 300hp daripada enjin turbo dan motor elektrik. Ini adalah SUV plug-in hybrid (PHEV) dengan enjin 1.6-L PureTech berkuasa 200hp dan dua motor elektrik yang menjadikannya berkuasa dan mesra alam.

Dari segi prestasi SUV ini berupaya memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam masa 5.9 saat manakala bateri 13.2 kWh mampu membekalkan tenaga untuk pemanduan tanpa emisi sehingga 58 kilometer. Pengecasan penuh pula hanya memerlukan kurang daripada dua jam menggunakan pengecas 7kW.

3008 SUV GT Hybrid4 adalah varian pertama dalam barisan model 3008 dengan pacuan empat roda. Selepas ini PEUGEOT merancang untuk memperkenalkan 3008 PHEV pacuan roda depan berkuasa 225hp. Varian ini dibekalkan enjin PureTech berkuasa 180hp dan motor elektrik 110hp yang diletakkan pada gandar depan.

 

PEUGEOT

 

Sebagai perbandingan, model 3008 tempatan menggunakan enjin 1.6 liter turbo THP berkuasa 165 hp.

Selain daripada nadikuasa canggih, 3008 SUV GT Hybrid4 dilengkapi teknologi moden seperti kawalan jelajah adaptif dengan fungsi Henti & Mula dan Bantuan Kedudukan Laluan.

PEUGEOT sekarang ini menumpukan kepada program elektrifikasi dengan model hatchback 208 dan SUV 2008 baharu akan ditawarkan dalam varian elektrik sepenuhnya. Menjelang tahun 2023, setiap model PEUGEOT akan dilengkapi dengan varian elektrifikasi.

Penulis: Muhammad Md Tajudin