Peugeot 3008 facelift dapat muka baharu yang lebih kompleks, versi PHEV 300 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah kira-kira empat tahun berada di pasaran, crossover segmen C Peugeot 3008 akhirnya mendapat kemaskini pertengahan kitaran, membawakan rupa paras yang lebih menawan selain teknologi yang dipertingkatkan.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Dari segi luaran, pemenang Car of The Year 2017 ini mendapat fascia hadapan dengan rekaan yang diperbaharui, menampilkan lampu LED penuh, gril hadapan tanpa bingkai, skup bumper kiri dan kanan, serta lampu nyalaan siang LED berbentuk taring.

Sementara bahagian belakang pula, lampu utama diberikan kemasan asap.

 


Peugeot juga turut menawarkan pakej 'Black Pack' di mana komponen tersebut diberikan layangan warna hitam seperti gril hadapan, monogram Peugeot/3008/GT, tread plate, trim fender hadapan, bar bumbung, trim bumbung, trim spoiler, sill bumper belakang, kemasan bawah pintu serta rim Washington bersaiz 19 inci.

Antara warna baharu yang ditawarkan termasuklah Celebes Blue, dan Vertigo Blue disamping warna sedia ada iaitu Pearl White, Artense Grey, Platinum Grey, Perla Nera Black dan Ultimate Red.

 


Ruang kabin turut menampilkan skrin paparan infotainmen tengah bersaiz 10 inci, dengan kunci piano yang serba elegan membenarkan akses kepada radio, pendingin hawa, sistem navigasi, tetapan kenderaan, telefon, aplikasi mudah alih serta butang kecemasan.

Sementara model hibrid pula mendapat satu lagi fungsi tambahan bagi mengakses kepada tetapan trenkuasa.

Antara ciri lain termasuklah sistem sambungan kepada Apple CarPlay, Android Auto, sistem pengecasan nirwayar, sistem audio FOCAL 515 watt (opsyen), serta seleksi mod pemanduan Normal, Sport, Eco serta pilihan mod Electric / Hybrid / Sport untuk model hibrid.

Aspek keselamatan Peugeot 3008 merangkumi ciri-ciri yang ditambahbaik seperti Kawalan Pelayaran Adaptif dengan fungsi Berhenti/Mula, Bantuan Posisi Laluan, Brek Kecemasan Automatik, serta bantuan papan tanda trafik.

 


Dari segi pemilihan enjin pembakaran dalaman biasa, Peugeot 3008 hadir dengan nadi seperti berikut:

  • enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter - 128 hp
  • enjin empat silinder sebaris 1.6 liter - 177 hp
  • enjin diesel empat silinder sebaris 1.5 liter - 128 hp

di mana hanya versi 1.6 liter sahaja yang hadir dengan penawaran transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Untuk versi hibrid, terdapat dua varian ditawarkan iaitu HYBRID4 300 e-EAT8 dengan enjin PureTech (200 PS) yang digandingkan dengan motor elektrik hadapan (110 hp), dan motor elektrik belakang (112 hp) dengan angka output gandingan setinggi 300 hp dan 520 Nm.

Versi 300 hp ini mampu memecut sepantas 5.9 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 235 km/j.

Sementara model HYBRID 225 e-EAT8 pula menampilkan enjin PureTech 177 hp dengan motor elektrik 108 hp, sistem pacuan dua roda dan angka output keseluruhan setinggi 222 hp.

 


Kedua-dua model hibrid ini hadir dengan pek bateri lithium-ion berkapasiti 13.2 kWh yang membenarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 56 km untuk versi 2WD, dan 59 km untuk versi pacuan semua roda.

Untuk pengecasan pula, Peugeot 3008 mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit menggunakan Wall Box 7.4 kW, empat jam dengan menggunakan soket 16A dan pengecas fasa tunggal 3.7 kW, dan tujuh jam sekiranya menggunakan soket standard 8A dan pengecas yang sama.

Tiada sebarang harga jualan didedahkan buat masa ini, namun penjualannya bakal bermula di Eropah pada akhir tahun ini.

Berita Berkenaan

Berita Global
Crossover segmen C ini bukan sahaja akan ditawarkan dalam versi elektrik, akan tetapi versi hibrid…
Berita Global
Menjelang pelancaran rasmi model baharu SUV berjenama singa Perancis yang akan berlangsung pada…
Berita Global
Untuk model semasa yang masih lagi wujud di pasaran tertentu, Peugeot telah mengemaskini penawaran…