Kerja penggerudian penerokaan telaga Polok-1 bermula dari 29 Februari 2020, serentak diikuti oleh penggerudian telaga Chinwol-1.
Naib Presiden Penerokaan dan Huluan PETRONAS, Emeliana Rice-Oxley, berkata kumpulan amat gembiran dengan dua penemuan yang membuktikan fokus berterusan untuk mencari peluang mengembangkan portfolio sumber dan simpanan di lembangan prolifik Mexico.
"Bersama-sama dengan rakan, kami bersedia untuk terus menilai data bagi menentukan potensi komersial penemuan ini.
"Dua penemuan ini bersama-sama dengan penemuan minyak di telaga penerokaan Monument, luar pesisir Teluk Mexico di Amerika Syarikat (AS) bulan lalu, menandakan kejayaan tiga penemuan berturut-turut, pencapaian penting bagi PETRONAS serta penerokaannya di benua Amerika," katanya dalam satu kenyataan.
Telaga Polok-1 dan Chinwol-1 masing-masing terletak di kedalaman 584 dan 464 meter, kira-kira 75 kilometer barat laut Tabasco.
Block 29 dikendalikan oleh Repsol Exploración Mexico S.A. de C.V. yang memiliki 30 peratus kepentingan kerja, manakala PCCMO menguasai 28.33 peratus, Wintershall Dea sebanyak 25 peratus dan PTTEP Mexico E&P Limited, S. de R.L. de C.V. menguasai baki 16.67 peratus lagi.
PETRONAS melalui anak syarikatnya, PCCMO, ketika ini memiliki kepentingan dalam 10 blok penerokaan merentasi tiga lembangan utama Mexico, dengan jumlah keseluruhan kawasan kira-kira 22,000 kilometer persegi.
PCCMO adalah pengendali lima daripada blok berkenaan.
sumber: Berita Harian