PETRONAS rai kejuaraan kategori pengeluar F1 keenam bersama Lewis Hamilton, Valtteri Bottas

oleh Mohamad Hanif|
Dalam satu acara yang berlangsung di ibu negara semalam, PETRONAS meraikan gelaran juara kategori pengeluar bersama-sama tetamu khas iaitu pelumba Mercedes-AMG Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Motorsports merupakan pasukan pertama di dalam sejarah sukan permotoran untuk menjuarai kategori berganda (pengeluar dan pelumba) enam kali berturut-turut. 

Gelaran kategori pengeluar diraih ketika pusingan Japan GP, di mana Bottas menjuarai pusingan tersebut, manakala Hamilton pula meraih gelaran tersebut di US Grand Prix, menjadikannya pemandu F1 kedua paling berjaya dalam sejarah. 

Kedua-dua pelumba tersebut melahirkan ucapan terima kasih kepada kakitangan PETRONAS atas sumbangan yang tidak berbelah bagi dalam memastikan kejayaan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS sepanjang tempoh kedua-dua entiti tersebut bekerjasama. 

Sepanjang 10 musim dan 196 buah perlumbaan sehingga kini, pasukan Mercedes-AMG PETRONAS telah meraih kemenangan sebanyak 92 Grand Prix, 102 kedudukan teratas serta 193 trofi. 

Menurut Presiden dan CEO PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, "kejayaan merangkul enam kali berturut-turut juara kategori pengeluar (World's Constructors Championship) ini merupakan manifestasi kejayaan PETRONAS selaku rakan teknikal di dalam pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport. 

"Bagi pihak PETRONAS, kami mengucapkan tahniah kepada pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport atas kejayaan yang dikecapi, dan berharap dapat memberikan nilai yang lebih tinggi kepada pasukan pada masa akan datang," ujar beliau lagi.