Petronas patut anjur cub-prix elektrik untuk ASEAN!

oleh HEZERI SAMSURI|
Dunia automotif sekarang sudah rancak untuk bergerak ke arah elektrifikasi dan Malaysia adalah negara pertama di dalam Asean memperkenalkan skim insentif khusus untuk kenderaan elektrik dan hibrid.

Namun begitu, industri automotif membuktikan sekali lagi ia bergerak dengan pantas dan kini, semua negara Asean mempunyai insentif masing-masing untuk menggerakan perubahan dari kenderaan enjin bahan api fosil kepada elektrik.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dorongan dari kerajaan adalah perlu tetapi ia lebih kepada kepentingan negara. Untuk pihak korporat, perubahan perlu dilakukan demi untuk memastikan produk masing-masing kekal relevan kepada pasaran sasaran.

Sabtu lalu, kami di Careta memulakan sesi perbincangan pertama di aplikasi Club House dengan tajuk Boleh ke Malaysia tukar kepada kereta elektrik (anda boleh follow warung Careta di sana menggunakan pautan ini https://www.clubhouse.com/club/careta-malaysia).

 

 

Kami memilih platform Club House kerana ia mudah, kini boleh dimuat turun oleh Android dan IOS serta tidak terlalu membebankan data kerana ia hanya membenarkan audio sahaja dikongsi. Maka tak perlu mandi dan bersolek bila masuk ke warung Careta.

Sesi lalu membincangkan pengalaman pemilik-pemilik kenderaan elektrik dan juga cara-cara bagaimana pengguna Malaysia mungkin boleh berminat untuk bertukar kepada kenderaan elektrik. 

Rentetan dari perbincangan itu, saya merasakan antara projek yang boleh dibangunkan dengan pantas ialah sistem bateri dan BMS (Battery Management System) yang boleh digunakan untuk motosikal. Ini ialah kerana pasaran motosikal Asean adalah sangat besar.

Lupakan pasaran tempatan dahulu kerana secara realitinya, penjualan 500k ke 600k setahun untuk kereta dan jumlah yang lebih kurang sama untuk motosikal dalam tempoh satu tahun adalah terlalu kecil dibandingkan dengan hampir 6 juta unit motosikal yang terjual di Indonesia dalam setahun.

Indonesia juga sudah mengumumkan mereka akan membenarkan motosikal dengan enjin petrol biasa ditukar kepada elektrik, dan ini adalah satu keputusan yang sangat bijak.

Syarikat dari Malaysia perlu mengambil peluang ini dan antara idea yang saya rasa boleh dilaksanakan ialah menggunakan siri perlumbaan cubprix yang sudah tersedia. 

 

 

 

Di bawah ialah cadangan saya secara ringkas.

1. Sukan permotoran ialah platform terbaik untuk berhubung terus dengan pengguna-pengguna tegar motosikal kelas underbone atau cub. Ini terbukti dengan perlumbaan Formula E dan juga Moto E yang semakin popular di negara-negara maju.

2. Sukan permotoran juga adalah platform terbaik untuk menjalankan ujian-ujian komponen kenderaan, dan dalam kes ini, menguji prestasi dan ketahanan sistem elektrifikasi pada motosikal lumba tersebut.

3. Motosikal-motosikal yang ada sekarang boleh ditukar kepada jentera perlumbaan cubprix elektrik, dan ini akan membenarkan pelbagai jenama motosikal digunakan dalam perlumbaan, menjadikan ia lebih seronok ditonton dan lebih banyak peminat-peminat dari pelbagai jenama motosikal.

4. Bateri, BMS dan motor elektrik perlu menjadi komponen kawalan untuk memastikan prestasi sama rata antara pelumba yang terbabit.

 

 

5. Ia juga memudahkan kajian dan ujian dengan lebih terperinci untuk ketiga-tiga komponen tersebut. Kajian berpusat seperti ini membenarkan pengambilan data dan pembangunan komponen dilakukan dengan lebih segera.

6. Petronas boleh menjadi pelopor di dalam sukan ini kerana ia sudah sekian lama berada di dalam arena sukan permotoran (untuk geng motor, ini bukan konvoi motosikal ya).

7. Agensi tempatan yang sedang membangunkan teknologi bateri, seperti Nano Malaysia Berhad dan juga syarikat tempatan seperti UMorie boleh membekalkan bateri, BMS dan motor elektrik. Bateri untuk perlumbaan pula perlu dari jenis mudah tukar (swappable). 

8. Petronas juga sudah mempunyai nama di dalam Asean, dan ia membantu menaikan nama negara di dalam sukan permotoran dan paling penting sekali, pembangunan teknologi kenderaan elektrik.

 

 

Tidak seperti Indonesia di mana mereka mempunyai sumber nadir bumi yang penting dalam pembikinan bateri, atau seperti Thailand di mana pembuatan komponen dan pemasangan kenderaan yang jauh lebih matang, Malaysia perlu bertukar kepada negara pengkesport teknologi dan kepakaran.

Jika kita masih mahu Malaysia berdiri lebih tinggi dari kalangan jiran-jiran Asean dan menjadi lebih berdaya saing, pembangunan sumber negara perlu sejajar permintaan pasaran dan kebolehan kita.

Pemberian insentif seperti pengurangan cukai tidak boleh menjadi cara utama negara menarik pelabur asing kerana saiz pasaran domestik yang terhad akan menjadikan pulangan modal yang lambat. 

Di mana ada gula, di situ semut menghurung. Di mana ada teknologi, di situ syarikat kenderaan akan bertumpu.

Wallahullam.

* Laporan Careta mengenai tunggang uji motosikal elektrik Y-Suku UMorie pada pautan di bawah

https://careta.my/article/prototaip-y-suku-elektrik-umorie-caj-penuh-3-kali-lebih-pantas

Video tunggang uji tersebut adalah di bawah: