Petronas di Langkawi lokasi pertama jualan Biodiesel B20

oleh SALINA JALIL|
Pulau Langkawi mula menggunakan adunan Biodiesel sebanyak 20 peratus kandungan metil ester sawit atau dikenali sebagai Biodiesel B20, untuk sektor pengangkutan bermula 1 Januari lalu.


Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata PETRONAS selaku peneraju utama bahan api negara menerusi Stesen Minyak Kampung Tok Senik di Pulau Langkawi, menjadikan stesen minyak pertama di Malaysia menjual Biodiesel B20.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Pulau Labuan pula akan menjadi destinasi kedua program Biodiesel B20, yang juga akan beroperasi bulan ini.

 

“Program Biodiesel B20 itu akan dilaksanakan secara berperingkat-ringkat di Sarawak, Sabah dan seterusnya di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kok berkata, program Biodiesel B20 ini dijangka menggunakan tambahan minyak sawit mentah sebanyak 500,000 tan daripada jumlah sedia ada untuk program Biodiesel B10 ketika ini.

 

Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan juga bersetuju mengekalkan harga pasaran runcit Biodiesel B20 setara harga pasaran semasa Biodiesel B10 iaitu sebanyak RM2.18/liter.

 

“Ini bermakna, pengguna akan dapat menikmati bahan api kenderaan yang lebih bersih pada kadar harga runcit yang sama.

 

“Program Biodiesel B20 ini juga akan menggantikan Biodiesel B10 di pasaran sedia ada secara berperingkat, sejajar hasrat negara bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG) dan seterusnya menjadikan negara lebih bersih dan lestari,” katanya.

 

Beliau berkata setiap penggunaan satu tan biodiesel dapat mengurangkan sebanyak kira-kira tiga tan gas karbon dioksida yang dilepaskan menerusi kenderaan diesel, manakala sebanyak 3.2 juta tan metrik/tahun GHG dijangka dapat dikurangkan menerusi pelaksanaan B20.

 

“Dengan peningkatan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia yang telah melepasi tahap RM3,000/tan, program Biodiesel B20 ini juga dapat membantu mengekalkan momentum peningkatan harga dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan isi rumah pekebun kecil sawit di negara ini,” katanya.

 

 

 

Sumber: Berita Harian

Gambar: Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
Oleh itu katanya, kementerian mengadakan perbincangan dengan syarikat petroleum untuk membincangkan…
Berita Domestik
Tak rosakkah kereta kalau bertukar secara tiba-tiba ke Biodiesel B20? Bagaimana pula kesan jangka…
Berita Domestik
Langkawi dan Labuan dipilih sebagai lokasi perintis untuk pelaksanaan program Biodiesel B20 diikuti…