PETRONAS catat untung RM9.3 bilion Q1 2021

oleh Mohamad Hanif|
PETRONAS meraih keuntungan bersih lebih tinggi RM9.3 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021, lebih tinggi berbanding RM4.5 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Prestasi syarikat minyak dan gas nasional itu disokong pemulihan harga komoditi sejak penularan COVID-19.

Keuntungan bersih lebih tinggi itu adalah sejajar dengan kos keseluruhan lebih rendah ditanggung oleh kumpulan, yang sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan lebih rendah.

PETRONAS meraih pendapatan lebih rendah RM52.5 bilion pada suku dikaji, susut 12 peratus daripada RM59.6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan lebih rendah disebabkan penurunan jumlah jualan produk petroleum, gas asli cecair (LNG) dan gas asli, yang ditambah dengan kesan pengukuhan ringgit berbanding kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan naik 13 peratus kepada RM22.9 bilion daripada RM20.3 bilion yang diraih pada suku sama tahun lalu.

Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berada pada RM14.3 bilion, susut 19 peratus dari RM17.6 bilion, kebanyakan disebabkan inventori lebih tinggi dan jualan lebih rendah.

Setakat 31 Mac 2021, jumlah aset keseluruhan PETRONAS meningkat kepada RM593.8 bilion berbanding RM574.1 bilion setakat 31 Disember 2020, terutama disumbangkan oleh tunai dan tunai setara lebih tinggi, termasuk akaun terimaan lebih tinggi.

Perbelanjaan modal kumpulan berjumlah RM6.7 bilion, kebanyakan untuk projek huluan.

Keputusan kewangan bagi suku pertama 2021 mencerminkan pemulihan dari kerugian selepas cukai berjumlah RM1.1 bilion yang dicatatkan pada suku keempat tahun lalu.
 


Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata prestasi kewangan kumpulan pada suku pertama tahun ini mencerminkan komitmen berterusannya terhadap kecemerlangan operasi dan komersial.

Selain itu, beliau berkata, ia disokong langkah syarikat mengekalkan tahap kecairan yang sihat untuk memperkukuhkan daya tahannya.

"Langkah yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu menyediakan asas kukuh kepada kumpulan untuk bertahan dengan lebih baik dalam keadaan pasaran yang tidak stabil, ketika kita bersaing dengan peralihan tenaga global," katanya.

Menuju ke hadapan, PETRONAS berkata, permintaan industri minyak dan gas (O&G) dijangka pulih bersandarkan pelaksanaan program vaksinasi global, namun prospek pemulihan diramal kekal tidak berubah susulan risiko peningkatan kes COVID-19.

"PETRONAS akan terus memacu kecemerlangan operasi dan komersial di sebalik pemulihan harga minyak yang sederhana, sambil mengekalkan tahap kecairan yang sihat," katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata, laporan itu turut membabitkan video palsu Tengku…
Sukan Bermotor
Menurut sumber dalaman, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (sebelum ini dikenali sebagai SIC) akan…
Berita Domestik
  Ia berkata lebih separuh daripada penemuan itu berada dalam Lembangan Sarawak, terutamanya dalam…